Diterbitkan pada 29 Julai 2024, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tuaran – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkabong telah melaksanakan program Bersahabat dengan Kamus (BdK) sebagai satu daripada program yang diadakan bersempena dengan Minggu Karnival Kurikulum Peringkat SK Mengkabong.

Sepanjang karnival tersebut diadakan, DBP Cawangan Sabah melaksanakan dua pengisian program BdK, iaitu ceramah umum BdK dan aktiviti BdK Jawi.

Ceramah umum “Ayuh, Bersahabat dengan Kamus” yang diadakan pada 24 Julai 2024 berkonsepkan ceramah santai untuk murid tahap dua sekolah rendah bertujuan memberikan maklumat kepada murid tentang pelbagai jenis kamus, fungsi kamus, cara yang betul menggunakan kamus dan maklumat lain berkaitan dengan bidang perkamusan.

Ceramah yang telah disampaikan oleh Perancang Bahasa DBP Cawangan Sabah, Puan Azrin Eddy itu telah disertai oleh 293 orang murid.

Para peserta mendengar ceramah umum yang disampaikan oleh Puan Azrin Eddy.

Dalam tempoh dua jam ceramah tersebut berlangsung, banyak pengisian menarik telah diadakan, misalnya aktiviti berkumpulan mencari entri menggunakan Kamus Dewan Perdana.

Sesi aktiviti berkumpulan mencari entri dalam Kamus Dewan Perdana.

Selain program ceramah umum, DBP Cawangan Sabah turut mengadakan dua aktiviti BdK Jawi yang berkonsepkan permainan, iaitu Cari Kata Jawi dan Pancing Huruf Jawi pada 27 Julai 2024.

Kedua-dua aktiviti berkenaan diadakan untuk menarik minat murid mengenali huruf Jawi, merangsang kreativiti mereka membina perkataan Jawi dan menambah pengetahuan tentang cara mencari kata Jawi dalam Kamus Dewan Perdana.

Para peserta melakukan aktiviti mencari kata Jawi.
Peserta seronok menyertai aktiviti memancing huruf Jawi.

Permainan yang santai melalui aktiviti BdK Jawi itu telah berjaya menarik minat sebanyak 72 orang murid untuk menyertai kedua-dua aktiviti tersebut.

Pada masa yang sama, DBP Cawangan Sabah turut mengadakan jualan buku terbitan DBP dan menjadi tumpuan para pengunjung sepanjang karnival tersebut berlangsung.

Turut hadir dalam karnival berkenaan ialah Guru Besar SK Mengkabong, Encik Nazri Jalil dan guru-guru SK Mengkabong.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi