Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Hikayat Merong Mahawangsa yang sebelum ini sering dianggap sebagai cerita rakyat yang penuh dengan unsur mitos, kini diangkat semula sebagai karya yang memiliki nilai sejarah dan kesusasteraan tersendiri menerusi penemuan baharu oleh ahli akademik dan pakar linguistik.”
Demikian titah Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika menyampaikan titah perasmian Majlis Wacana Merong Mahawangsa dan Pelancaran Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pagi tadi.
Baginda mempelawa khalayak membaca teks Hikayat Merong Mahawangsa dan meneliti tafsiran yang diberikan oleh YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Haji Omar bersama-sama dengan tiga ahli linguistik lain, iaitu YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, YBrs. Dr. Mohammad Fadzeli Jaafar dan YBrs. Dr. Noor Hasnoor Mohd. Nor supaya memperoleh gambaran tentang negeri Kedah Tua dengan jelas dari berbagai-bagai sudut yang sebahagian besarnya tidak terdapat dalam kajian lain.
“Hikayat Merong Mahawangsa banyak menggunakan perkataan dan idiom Kedah,” titah baginda.

Titah baginda lagi, hasil kajian yang dijalankan oleh YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Haji Omar bersama-sama dengan rakan penyelidik lain mendapati bahawa hikayat tersebut memberikan tumpuan secara spesifik terhadap peradaban awal negeri Kedah, kira-kira 5000 tahun yang lalu, iaitu sekitar tahun 3000 Sebelum Masihi.
Hal ini berbeza dengan pendekatan karya agung lain seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang lebih banyak memerihalkan zaman sejarah alam Melayu, khususnya Melaka, Sumatera dan Kepulauan Riau.
Selain itu, baginda bertitah bahawa terdapat beberapa penemuan menarik daripada hikayat tersebut, iaitu peristiwa sejarah alam fizikal dan alam manusia yang tidak terdapat dalam hikayat lain.
Berkenaan dengan alam fizikal negeri Kedah Tua yang juga diakui memang benar berlaku berdasarkan dapatan kajian ahli arkeologi, geologi dan geomorfologi, iaitu percantuman Pulau Serai menjadi Gunung Jerai, Pulau Keriang menjadi Gunung Keriang, Pulau Tunjang menjadi Bukit Tunjang, Pulau Lada menjadi Bukit Lada, dan Pulau Jambul menjadi Bukit Jambul.
Malah, hikayat tersebut turut menggambarkan amalan pembinaan kota berdasarkan wasiat Merong Mahawangsa kepada warisnya agar kota tersebut dibina berhampiran dengan sungai atau pantai yang menunjukkan keutamaan jaringan air dalam pembangunan awal negeri itu.
Amalan ini dipercayai menjadi asas bagi pembinaan terusan seperti Terusan Wan Mat Saman dan sungai buatan lain yang masih wujud sehingga kini.
Budaya inilah yang mewujudkan satu daripada ciri alam atau topografi Kedah yang boleh kita lihat sekarang ini dalam bentuk terusan seperti Terusan Wan Mat Saman dan juga sungai buatan yang dikenal sebagai Sungai Baru, atau Sungai Korok atau Sungai Korek.
Baginda menjelaskan bahawa sebelum kedatangan Merong Mahawangsa, terdapat tiga kumpulan peradaban atau ‘umran telah wujud di Kedah, iaitu ‘umran Melayu, ‘umran Gergasi dan ‘umran Semang (orang asli).
Tambah baginda, istilah tertentu seperti “gergasi” dalam hikayat ini bukanlah bermaksud makhluk ganas dalam bahasa Inggeris, tetapi merujuk kumpulan manusia yang memiliki budaya tinggi dan dipercayai berasal dari kawasan Timur Tengah seperti Parsi atau Iran.
Dalam inti pati titahnya juga, watak Raja Besiung yang sering digambarkan sebagai pemakan darah daging manusia ditafsirkan secara metafora dan simbolisme.
“Dalam dialek Kedah, ada simpulan bahasa ‘makan darah’ yang bermakna melakukan penipuan besar dan menimbulkan kesengsaraan kepada orang yang menjadi mangsa, misalnya penipuan dalam perniagaan atau mengambil orang bekerja di kebun dan di bendang,” titah baginda.
Baginda juga menyentuh butiran yang cukup penting yang meletakkan hikayat ini memiliki nilai sejarah, iaitu kedatangan Islam ke negeri Kedah yang dibawa oleh Sheikh Abdullah dari Yaman sekitar abad ke-10 Masihi dan pengislaman raja pertama Kedah, Sultan Mudzaffar Shah.
Majlis tersebut disemarakkan lagi dengan pelancaran tiga buah buku baharu terbitan DBP, iaitu Hikayat Merong Mahawangsa: Interpretasi Teks dan Nilai Sejarah, Kamus Loghat Kedah dan Bahasa Kentak Bong: Huraian Fonologi dan Nahu.


Yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah dan pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua bahagian dan para pegawai dari pelbagai agensi.


