Diterbitkan pada 22 April 2025, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Media sosial menjadi satu daripada platform utama dalam interaksi sosial masyarakat kini. Dalam hal ini, media sosial berfungsi untuk pelbagai tujuan termasuklah sebagai medium komunikasi, saluran informasi, aplikasi dalam pekerjaan dan menyokong aktiviti pembelajaran. Kajian Muhammad Aidil (2023) bertajuk “Penggunaan Media Sosial sebagai Media Baharu dan Impaknya terhadap Masyarakat Malaysia” menjelaskan bahawa media sosial boleh diklasifikasikan sebagai media baharu.

Apakah itu media baharu? Media baharu merupakan media interaktif atau multimedia yang tidak mengalami apa-apa jua halangan terhadap transmisi yang melangkaui jarak dan waktu. Antara platform media sosial yang sering digunakan oleh masyarakat termasuklah aplikasi TikTok, Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram.

Namun, dalam kerancakan penggunaan media sosial, fenomena ini membawa cabaran besar terhadap kelangsungan bahasa Melayu khususnya dalam kalangan generasi muda. Isu yang timbul termasuklah penggunaan bahasa Melayu yang sering dicampuradukkan dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, bahasa yang dipendekkan secara semberono dan kurangnya penghayatan terhadap tatabahasa yang betul dilihat menjadi tular dan semakin “liar” bertebaran di media sosial. Persoalannya, adakah usaha memelihara martabat bahasa Melayu dalam era media sosial ini penting dan relevan? Adakah bahasa Melayu sepatutnya bersifat lebih mesra untuk beradaptasi dengan perubahan zaman tanpa perlu dikekalkan secara ketat?

Jika ditelusuri, media sosial seperti Instagram, WhatApps, TikTok dan Twitter telah mencipta satu budaya komunikasi yang serba ringkas, padat dan pantas. Dalam keterbatasan ruang, pengguna sering memilih untuk memendekkan perkataan seperti “awak” menjadi “awk”, “umur” menjadi “umr”, “boleh” menjadi “blh” atau menggunakan istilah pinjaman seperti “update”, “DM” (Direct Message) dan “otw” (on the way). Walaupun praktikal untuk tujuan komunikasi segera, amalan ini sebenarnya telah melemahkan kemahiran dan kefasihan berbahasa Melayu secara formal.

Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa rojak, iaitu campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris menjadi gaya bahasa popular di media sosial. Ungkapan seperti “For those yang nak booking, boleh dm I laju-laju” dan “Bestnya view kat sini!” sering kali dilihat berlegar-legar di media sosial. Bahasa sebegini menggambarkan pengaruh globalisasi yang menimbulkan kebimbangan terhadap pemeliharaan keaslian bahasa Melayu. Sekiranya keadaan ini semakin berlarutan, generasi akan datang mungkin sukar untuk menulis dan bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan gramatis. Selain itu, penggunaan bahasa slanga menjadi pilihan anak-anak muda dalam coretan komen di media sosial. Sebagai contoh, pernyataan seperti “cun do awek kau”, “amenda siak!” dan “lantak ko lah”. Bahasa tersebut nyata telah mencemarkan keindahan bahasa Melayu yang kaya dengan tutur santun dan adab bicaranya.

Bahasa menjadi cerminan jati diri dan budaya sesebuah negara. Bahasa Melayu bukan sahaja berperanan penting sebagai alat komunikasi, tetapi juga merupakan identiti nasional dan lambang perpaduan bagi rakyat Malaysia. Apabila bahasa ini terpinggir apatah lagi disalahgunakan, hal ini sudah tentu akan menggugat nilai budaya yang dimilikinya. Sebagai contoh, karya sastera klasik dan moden memang memerlukan kefasihan pembaca untuk benar-benar memahami mesej di sebalik keindahan diksi yang digunakan. Malangnya, generasi muda yang terlalu terdedah terhadap penggunaan bahasa rojak dan slanga di media sosial semakin hilang keupayaan untuk mencerna makna bahasa secara mendalam. Hal ini turut mengakibatkan penghargaan mereka terhadap kekayaan warisan sastera ini semakin pudar.

Lebih parah lagi, bahasa Melayu berisiko untuk kehilangan peranannya sebagai bahasa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Penggunaan bahasa Melayu yang bercampur-baur dengan bahasa asing atau tidak menepati hukum nahu akan melunturkan rasa bangga terhadap bahasa ibunda. Generasi muda yang terpengaruh dengan bahasa asing cenderung untuk menganggap bahasa Melayu sesuatu yang kuno dan tidak relevan.

Akibatnya, jati diri kebangsaan yang berakar dalam nilai budaya dan tradisi semakin dilupakan. Pantun, peribahasa dan simpulan bahasa yang selama ini memaparkan nilai murni serta kebijaksanaan masyarakat Melayu barangkali tidak lagi difahami dan bermakna dalam kehidupan seharian. Dalam jangka panjang, elemen bahasa yang indah dan unik akan terhakis lantas memberikan impak negatif terhadap budaya. Kehilangan kesemua elemen tersebut bukan sahaja merupakan kerugian linguistik, tetapi juga merenggut khazanah budaya yang tidak ternilai harganya.

Berbalik kepada persoalan yang telah dikemukakan, kita perlu memahami tujuan utama memelihara martabat bahasa Melayu. Usaha ini dilakukan bagi melindungi bahasa Melayu daripada kepupusan dan memastikan perkara ini terus relevan dalam pelbagai bidang, termasuklah bidang teknologi dan media sosial. Bahasa Melayu perlu berkembang dan menyesuaikan diri dengan peredaran zaman tanpa mengorbankan keindahan serta asas tatabahasanya. Pengenalan istilah baharu dalam bidang teknologi seperti “pengkomputeran awam” (cloud computing) dan “kecerdasan buatan” (artificial intelligence) telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu bersaing di arena global dan menjadi medium yang relevan.

Oleh itu, usaha memelihara martabat bahasa Melayu amat penting bagi memastikan bahasa ini terus hidup dan diangkat dalam arus globalisasi. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan pendidikan kesedaran perlu diperkasa bagi memastikan bahasa Melayu kekal dihormati dan digunakan dengan betul di media sosial. Sekolah dan universiti awam perlu memainkan peranan yang aktif dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memartabatkan bahasa Melayu. Guru dan pensyarah mesti menggalakkan pelajar supaya menggunakan bahasa Melayu dengan ejaan penuh serta tatabahasa yang betul ketika berinteraksi di media sosial. Program seperti “Minggu Bahasa Melayu” dan “Sayembara Menulis Esei” dilihat dapat membantu pelajar membiasakan diri dengan penggunaan ayatoilyang gramatis.

Bukan itu sahaja, pemanfaatan aplikasi yang mengutamakan bahasa Melayu dapat membangun proses pembelajaran yang lebih menarik dan sesuai dengan generasi kini. Bengkel atau seminar yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam konteks moden termasuklah di media sosial juga harus diperkenalkan. Melalui pendekatan holistik ini, pengguna media sosial akan lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan bahasa Melayu digunakan dengan betul dan bermaruah.

Selain itu, meluaskan kuasa pempengaruh media sosial dan selebriti merupakan usaha memelihara martabat bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai karisma yang kuat untuk mendorong generasi muda mengikuti perkara yang dilakukan. Oleh hal yang demikian, artis dan pempengaruh yang lainnya boleh memberi teladan yang baik melalui penulisan yang menitikberatkan ejaan yang sempurna dan tiada gabungan daripada bahasa lain dengan sewenang-wenangnya apabila membuat hantaran di media sosial.

Atlet negara dan artis terkenal juga boleh menyisipkan mesej patriotik berkenaan dengan bahasa kebangsaan atau menjawab wawancara dengan laras bahasa Melayu yang betul apabila tampil di media sosial. Tambahan pula, kolaborasi antara institusi bahasa dan selebriti boleh menjayakan kempen kreatif yang menarik minat golongan muda. Sebagai contoh, kempen #BahasaMelayuSelaludiHatiku boleh dibina menerusi video pendek atau sesi siaran langsung di media sosial. Perkara ini dianjurkan agar dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk mencontohi pekerti idola mereka dalam menghargai bahasa Melayu. Generasi muda semestinya akan berasa kagum sewaktu melihat idola pujaan mereka berbicara atau menulis dalam bahasa Melayu yang tersusun dan tampak berpendidikan.

Secara tidak langsung, tindakan ini dapat mengajak anak-anak muda untuk menggunakan bahasa Melayu dengan cara yang betul sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan ketika berinteraksi di media sosial. Tegasnya, pempengaruh media sosial merupakan ikon terbaik untuk mempromosikan bahasa Melayu kepada golongan muda kerana setiap tindak-tanduknya sentiasa mendapat sorotan ramai.

Di samping itu, usaha untuk memelihara martabat bahasa Melayu di media sosial boleh dilakukan dengan pembangunan kandungan yang berkualiti. Hal ini kerana kandungan bahasa Melayu yang berkualiti tinggi mampu menyampaikan informasi yang bermakna kepada pengguna media sosial untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Berhubung dengan perkara ini, penyediaan artikel, infografik, video pendidikan dan fail media digital (podcast) dengan sentuhan segar pasti dapat menarik perhatian generasi muda. Barisan penyedia kandungan terdiri daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), syarikat penerbitan tempatan dan individu yang kreatif boleh menyumbang serta menghasilkan karya untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Sektor awam dan sektor swasta juga boleh membentuk kerjasama untuk mencipta kandungan yang bervariasi dan berinovasi. Media elektronik seperti televisyen dan radio pula boleh menyajikan dokumentari atau berita yang mengiklankan keindahan bahasa Melayu dan keunikan budaya bangsa. Paparan kandungan boleh merangkumi pelbagai aspek yang dekat dengan kehidupan masyarakat bermula dari hiburan sehingga isu semasa dengan penekanan terhadap pengucapan bahasa Melayu dalam konteks formal dan menggunakan laras bahasa bersesuaian mengikut bidang tertentu. Melalui pendekatan ini, kesedaran tentang kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dapat dipupuk dalam kalangan pengguna media sosial.

Seterusnya, pemberian pengiktirafan dan penghargaan merupakan usaha untuk memelihara martabat bahasa Melayu di dunia media sosial. Penghargaan kepada individu atau organisasi yang bergiat aktif dalam kegiatan mempromosikan bahasa Melayu di media sosial akan menjadi pemangkin semangat kepada pengguna lain untuk turut serta. Sebagai contoh, kerajaan atau badan kebudayaan boleh mengadakan anugerah tahunan seperti “Anugerah Pejuang Bahasa Digital” untuk mengiktiraf pencipta kandungan kreatif yang mengaplikasikan bahasa Melayu secara konsisten dan inovatif di pelbagai platform.

Tidak hanya itu, DBP pula boleh menganjurkan kerjasama dengan sekolah, universiti dan sektor korporat untuk memberikan pengiktirafan berbentuk biasiswa, peluang latihan dan promosi khas di media massa kepada individu yang berprestasi cemerlang dalam memartabatkan bahasa Melayu. Bagi menarik perhatian lebih ramai golongan muda, majlis penghargaan boleh dibuat berkonsepkan moden dan eksklusif seperti gala penghargaan yang disiarkan secara langsung di platform hiburan termasuklah TikTok dan Youtube.

Dalam pada itu, institusi pendidikan pada peringkat sekolah mahupun universiti awam boleh mengiktiraf pelajar yang menunjukkan usaha gigih dalam memperjuangkan bahasa Melayu di media sosial melalui pemberian sijil khas atau penghormatan yang sewajarnya. Penghargaan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan rasmi kepada usaha mereka, malah berfungsi sebagai motivasi kepada pengguna yang lain untuk sama-sama memartabatkan bahasa ibunda tercinta. Dengan demikian, masyarakat secara kolektif akan lebih menghargai dan menyedari kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baik menerusi media sosial.

Kesimpulannya, memelihara martabat bahasa Melayu di dunia media sosial amat relevan dan suatu keperluan mendesak bagi memastikan bahasa ini terus menjadi tunjang kepada jati diri dan budaya bangsa. Sebagai rakyat Malaysia, kitalah yang bertanggungjawab penuh ke atas bahasa kebangsaan kita sendiri. Dalam dunia yang begitu pantas menghubungkan ini, kita jangan sekali-kali terlalu mengagungkan bahasa asing sehingga bahasa ibunda terpinggir atau gemar mencipta singkatan kata yang boleh merosakkan bahasa Melayu. Tiada salahnya kita belajar menguasai bahasa lain termasuklah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin untuk menambah kemahiran komunikasi, namun bahasa Melayu tetap harus menjadi keutamaan.

Kita juga perlu mengelakkan diri daripada merancukan bahasa Melayu sesuka hati biarpun ada yang beranggapan dengan menyelitkan bahasa Inggeris dalam percakapan mahupun penulisan di media sosial kelihatan lebih “berkelas”. Tindakan ini sama sekali tidak patut dan berpotensi melunturkan martabat serta keindahan bahasa Melayu pada mata pengguna media sosial di seluruh dunia. Sebaliknya, media sosial harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk mempopularkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan menonjolkan nilai estetika bahasa ini.

Melalui usaha yang proaktif, bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai medium komunikasi yang relevan, dinamik dan dihormati pada peringkat global. Justeru, marilah kita menggunakan bahasa Melayu yang betul dengan penuh bangga dan rasa hormat bukan sahaja di media sosial bahkan dalam kehidupan sehari-hari. Secara tidak langsung, kita dapat mendorong generasi muda sebagai peneraju masa hadapan negara untuk lebih tertib dan beretika terhadap penggunaan bahasa Melayu di platform media sosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi