Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Maklumat yang terkandung pada cap mohor manuskrip Melayu menjadi sumber sejarah yang amat penting di Asia Tenggara. Maklumat seperti nama, gelaran, tempat dan tarikh yang digunakan secara tepat dan dianggap sahih menjadi bukti bagi sejarah kerajaan terdahulu di Asia Tenggara khususnya di Tanah Melayu.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop, Ketua Kurator, Bahagian Asia Tenggara, Perpustakaan British, London dalam Wacana Manuskrip Melayu Bilangan 2/2025 bertajuk “Rahsia Keagungan Cap Mohor Manuskrip Melayu” anjuran Perpustakaan Negara Malaysia yang dilaksanakan secara dalam talian, semalam.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Matematik, Universiti Bristol, United Kingdom; Ijazah Sarjana Bahasa Melayu, Universiti London; dan Ijazah Kedoktoran (PhD), Universiti London telah menjalankan kajian terhadap lebih 2168 cap mohor dan diterbitkan sebagai buku Malay Seals from the Islamic World of Southeast Asia.
Beliau berkata,
Cap mohor atau dikenali sebagai cap Melayu yang terkandung dalam naskhah tersebut ditulis dalam bahasa Arab, bahasa Melayu dan bahasa yang lain serta berasal dari seluruh pelosok nusantara termasuklah Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Thailand dan Kemboja. Kesemuanya disusun dalam 27 bab berdasarkan wilayah atau daerah asal cap Melayu tersebut.
Menurut beliau, dalam manuskrip Melayu terdahulu, hanya perkataan cap yang digunakan dan bukannya cap mohor. Oleh sebab itu, cap mohor dipanggil sebagai cap Melayu dan berasal dari banyak negara lain di seluruh dunia, bukan dari Asia Tenggara sahaja. Penggunaan cap mohor diyakini telah bermula pada pertengahan abad ke-16 hingga awal abad ke-20.
Beliau turut menjelaskan,
Sejarah pengaruh agama Islam di wilayah tertentu dibuktikan dengan penggunaan cap Melayu yang meluas dan wujudnya kerajaan ataupun kesultanan di wilayah tersebut. Selain itu, hanya sultan, kerabat, keluarga diraja dan pegawai kerajaan yang dilantik sahaja yang berhak mempunyai dan menggunakan cap Melayu.

Selain itu, maklumat sejarah pada cap mohor dapat dikaji dan dikenal pasti bagi menentukan lokasi dan asal usul cap mohor melalui reka bentuk ukiran, kaedah pengecapan menggunakan dakwat, lilin ataupun jelaga pelita, bahasa, tulisan, ciri khas, pengaruh negara dan bahan buatannya.
Ujar beliau lagi,
Banyak maklumat pada cap Melayu yang dapat diperoleh berkenaan dengan sejarah kerajaan Melayu dan tidak dapat diperoleh daripada mana-mana manuskrip Melayu yang lain. Saya yakin masih banyak cap Melayu yang belum sempat dikaji dan setiap maklumat khusus seperti nama, tarikh pengurniaan, gelaran dan nama bapa ataupun keturunan sangat penting dalam penulisan biografi tokoh Melayu masa lampau.
Beliau turut berkongsi antara cabaran semasa melakukan kajian berkenaan cap mohor termasuklah kesukaran untuk membaca tulisannya, kesukaran memahami maksud bahasa tulisannya yang rata-rata ditulis dalam bahasa Arab dan ukiran yang tidak jelas.
Cap mohor amat berpengaruh dan menjadi simbol kekuasaan dan kedaulatan dalam kerajaan terdahulu. Cap mohor juga menjadi sumber sejarah penting dan bukti warisan intelektual yang istimewa serta perlu dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.
Wacana penuh berkenaan rahsia keagungan cap mohor yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop boleh disaksikan di pautan yang berikut.