Diterbitkan pada 30 Julai 2025, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Apabila bercakap tentang pengorbanan kepada negara, tanyalah kepada diri sendiri, apakah jasa dan sumbangan kita sebagai rakyat kepada negara? Sejauh manakah kita telah berkorban demi memartabatkan bahasa Melayu di negara ini? Setakat manakah peranan yang telah kita usahakan selama ini dalam meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, iaitu sesuai dengan kedudukannya dan haknya sebagai bahasa kebangsaan? Sekerap manakah kita menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian kita dengan baik dan betul? 

Salah satu daripada perkara yang boleh dilakukan ialah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Namun persoalan utamanya ialah, adakah setiap daripada kita sebagai rakyat Malaysia, memainkan peranan masing-masing dalam memartabatkan bahasa kebangsaan negara? Siapa lagi jika tidak kita sendiri sebagai warganegara Malaysia yang akan memartabatkan bahasa Melayu.

Namun, sebaliknya pula yang berlaku. Amat menyedihkan lagi apabila wujud dalam kalangan warganegara Malaysia sendiri merendah-rendahkan martabat bahasa kebangsaan. Kepekaan dan kecaknaan kita terhadap martabat dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat-amat diperlukan, apatah lagi citra bahasa Melayu sudahpun tercalar.

Penggunaannya dalam kehidupan seharian semakin dipandang enteng dan dipinggirkan. Semakin membarah apabila bahasa Melayu dipandang rendah statusnya sehingga tidak menjadi bahasa pilihan semasa berkomunikasi dalam kalangan ahli keluarga ataupun rakan taulan berbanding bahasa Inggeris, bahasa Mandarin atau bahasa-bahasa yang lain. Inilah realitinya jika disandarkan pada situasi semasa. Bahkan amat sedih masih ramai masyarakat kita yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu.

Ada segelintir golongan elit termasuk profesional dan pemimpin korporat yang sebahagian besarnya dalam kategori T20, begitu alergik dengan bahasa Melayu kerana mereka berangapan bahawa bahasa kebangsaan tidak mencapai tahap sebagai bahasa ilmu dan ekonomi. Pada mereka bahasa kita  “tidak ada kelas” atau hanya sesuai digunakan oleh orang biasa. Penggunaan bahasa Inggeris semasa berkomunikasi sebagai lambang status sosial dan kemegahan adalah lebih berprestij. Hal ini, telah menyumbang kesan kepada kemerosotan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan anak muda, pewaris masa hadapan negara.

Harapan dan tujuan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa ketiga harus didokong bersama-sama. Tiada salahnya mendorong dan memberikan penekanan kepada anak-anak menguasai bahasa Inggeris mahupun bahasa lain sebagai bahasa pertuturan seharian. Namun begitu, janganlah sampai meminggirkan bahasa kebangsaan jua memperkecilkan kepentingan bahasa Melayu sebagai identiti rakyat negara ini. Realiti mutakhir ini, bahasa Melayu dilihat menumpang di negara sendiri. Usaha demi usaha untuk memperluaskan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak diendahkan dan diremehkan. Jika sikap sebegini tidak dibendung, di manakah kedudukan bahasa Melayu pada masa akan datang?.

Dalam kedaaan bahasa Melayu sedang ‘melukut ditepi gantang’ ketika ini, negara mengharapkan pengorbanan rakyatnya. Inilah antara perkara yang boleh kita lakukan – membantu memartabatkan bahasa Melayu – Ingatlah, setiap sumbangan kita dalam memartabatkan bahasa Melayu mampu memberi impak besar terhadap perkembangan bahasa Melayu.

Secara sedar atau sebaliknya, orang asing yang bukan warganegara lebih berminat untuk mempelajari bahasa Melayu. Pada mereka bahasa Melayu adalah bahasa yang unik dan mudah dipelajari serta dituturkan. Banyak sahaja negara di dunia ini maju dengan bahasa mereka sendiri, seperti Jepun, Perancis, dan China. Negara-negara ini setanding negara barat. Oleh itu, jadikan semangat ini sebagai ikhtibar untuk bersama-sama menyokong hasrat dan usaha kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Sebagai rakyat Malaysia tercinta marilah sama-sama kita tunaikan janji setia yang diikrarkan dalam Rukun Negara menjunjung tinggi martabat bahasa Melayu dengan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. 

Kini dunia semakin menghormati negara kita, kerana kita mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, walaupun diwarna-warnikan dengan semangat perpaduan. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita saling bahu membahu melahirkan rasa kecintaan kepada negara dengan memartabatkan bahasa kebangsaan. Ayuh, marilah sama-sama kita mengorbankan segala ego dan sikap mementingkan diri sendiri demi memartabatkan bahasa Melayu.

Menjelang kemerdekaan negara yang ke-68 pada bulan Ogos ini, tidak terhitung banyaknya nikmat yang telah kita peroleh di negara yang berdaulat ini. Kehidupan rakyat yang tenang, selamat, aman, dan bebas. Bahasa ibunda masing-masing masih bebas dituturkan tanpa sekatan.

Setiap daripada kita seharusnya memainkan peranan penting dalam meletakkan kepentingan bahasa Melayu di tempat yang sesuai dengan nilainya sebagai bahasa yang melambangkan identiti Malaysia. Walau siapa kita sekalipun, tentunya mempunyai peranan tersendiri dalam meletakkan nilai yang tinggi kepada bahasa Melayu. Ayuh, zahirkan rasa cinta dan sayang kita kepada negara ini dengan memainkan peranan masing-masing. Lakukan pengorbanan. Semoga pengorbanan dan sokongan rakyat dari pelbagai bangsa, bahasa Melayu terus dimartabatkan dan mampu berdepan dengan cabaran semasa dengan wibawa. Bahasa Jiwa Bangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi