Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu − Karnival Lestari Bahasa (LESTARI 2025) mencuri perhatian masyarakat apabila program Borak Santai Bersama-sama Pempengaruh Media Sosial dan Usahawan Muda Kelantan berlangsung dengan penuh meriah di Pentas Utama, Dataran Platinum Mall pada 25 Oktober yang lalu.
Program ini telah mempertemukan enam figura ikon media sosial dan usahawan muda popular Kelantan, iaitu Kak Yaya, pengasas wangian Yaya Empire, Kak Tina, pengasas Arena Beauty, Cikgu Jamie, Pempengaruh Media Sosial dalam bidang pendidikan, Abe Mat Ngepek, Usahawan Muda dan Pempengaruh Media Sosial dan Abbe Hae, Pempengaruh Media Sosial yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan (Pertubuhan Jejak Jalanan). Mereka berkongsi kisah perjuangan, cabaran dan kejayaan dalam dunia digital, keusahawanan dan bidang yang diceburi.

Program Borak Santai ini telah dihoskan oleh ikon siarawan terkenal, Ivan Toh yang kini merupakan peneraju Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan. Kepetahan berbahasa Melayu dan kebijaksanaan melontar soalan kepada setiap panel telah berjaya menghidupkan suasana program untuk menjadi lebih interaktif dan sarat dengan inspirasi. Menariknya, sesi ini berlangsung sepenuhnya dalam bahasa Melayu yang memperlihatkan kemampuan bahasa kebangsaan berperanan sebagai wahana komunikasi moden.
Menurut Kak Tina, beliau mula berjinak-jinak dengan media sosial bermula dengan Facebook pada tahun 2012 dengan hanya berkongsi resipi masakan sebelum aktif di platform TikTok pada tahun 2020 ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menariknya, beliau menggunakan bahasa Melayu dan dialek Kelantan yang cukup santai dan menarik dalam setiap perkongsian dan hal ini menjadikan kandungannya lebih mesra, menghiburkan dan mudah diterima. Pendekatan ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian warga maya, tetapi juga dapat memperkenalkan produknya kepada pengguna.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza binti Che Ismail ketika ditemui selepas sesi ini menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua ahli panel yang memberikan sokongan terhadap penganjuran program DBP pada kali ini.
Katanya lagi,
Program ini bukan sahaja mencetuskan inspirasi kepada anak-anak muda, tetapi juga menjadi platform kepada generasi muda untuk sama-sama memperkukuh nilai kesantunan, hormat-menghormati dan adab dalam berbahasa.