Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 13 November 2025, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pagoh – Bahasa Melayu terbukti memiliki sejarah yang panjang sebagai bahasa ilmu dan peradaban, termasuklah menjadi bahasa pengantar pelbagai bidang seperti sains dan teknologi. Justeru, dalam menghadapi cabaran dunia digital masa ini, usaha memperkukuh jati diri bahasa kebangsaan perlu diperkasakan melalui pendekatan yang lebih kreatif dan dekat dengan generasi muda.

Demikian antara inti pati ucapan perasmian Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Muhammad Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed yang mewakili Ketua Pengarah DBP ketika merasmikan Karnival Sahabat Kata di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Johor, hari ini.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Muhammad Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed.

Beliau berkata, generasi muda kini lebih terdedah terhadap dunia teknologi dan media sosial, namun dalam arus perubahan tersebut, bahasa Melayu tidak seharusnya tersisih.

“Kita melihat ramai anak muda menguasai platform seperti TikTok dan pelbagai saluran media sosial. Inilah ruang yang boleh dimanfaatkan untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dengan cara yang lebih segar dan dekat dengan mereka,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, masyarakat kini berdepan ancaman terhadap bahasa sendiri, bukan sahaja daripada pengaruh luar, tetapi juga daripada sikap segelintir masyarakat yang kurang bangga menggunakan bahasa Melayu.

“Melalui program seperti Karnival Sahabat Kata ini, kita berusaha menanam kembali rasa cinta dan bangga terhadap bahasa ibunda yang menjadi lambang jati diri bangsa,” ujarnya.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kerajaan MADANI atas kelulusan Dana Inisiatif Belanjawan 2025, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim pada 18 Oktober lalu.

Dana ini, katanya, disalurkan melalui Ikhtiar 57 Bahasa dan Karya Kreatif bagi mempergiat aktiviti bahasa dan sastera dalam kalangan generasi muda, termasuklah memelihara bahasa etnik minoriti seperti bahasa Siam.

“Sebahagian peruntukan inilah yang kita manfaatkan bagi menjayakan penganjuran Karnival Sahabat Kata pada kali ini,” jelasnya.

Menjelaskan pemilihan tema Sahabat Kata, beliau menyatakan bahawa kata-kata mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam membentuk semangat, menyampaikan idea dan membina hubungan antara hati dengan fikiran.

“Gunakan kata untuk membangunkan, bukan meruntuhkan. Jadikan setiap kalimah sebagai cahaya yang menerangi, bukan bayangan yang menutupi. Hebatnya kata-kata bukan pada keindahan, tetapi pada kebaikan yang dapat disebarkan,” katanya lagi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Pelibatan Komuniti, Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBrs. Profesor Madya Dr. Nur Nabila binti Abdullah serta Pengarah Seksyen Projek Khas Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Encik Huzaimi Amir bin Zainudin.

Karnival yang dianjurkan oleh DBP melalui Bahagian Ensiklopedia, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera ini memberikan tumpuan terhadap tiga objektif utama, iaitu meningkatkan penggunaan bahasa Melayu tinggi dalam kalangan generasi muda, memperkukuh jati diri pengguna bahasa Melayu, dan memupuk kesedaran tentang kepentingan bahan rujukan seperti kamus, glosari dan ensiklopedia.

Program yang diadakan dengan kerjasama strategik Astro Radio Sdn. Bhd. dan Syarikat Permainan Malaysia (SPM) ini turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti Wacana Sahabat Kata bertajuk “Bahasa dalam Lagu”, Pertandingan Pencak Aksara, Sahibba Cup dan Akulah DJ.

Tetamu yang hadir dalam program Karnival Sahabat Kata di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Johor.

Selain itu, permainan interaktif seperti Roda Kata dan Dam Ular Gergasi turut disediakan bagi menarik minat pengunjung. Pengunjung juga berpeluang membeli buku dan kamus terbitan DBP di Ujana Buku DBP serta mendapatkan maklumat tentang kursus yang ditawarkan melalui Akademi DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi