Diterbitkan pada 15 Mac 2026, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah kini menjadi syarat wajib bagi setiap institusi pendidikan agama rakyat, termasuk sekolah pondok dan tahfiz.

Kerajaan mengumumkan langkah drastik ini bagi memodenkan institusi pendidikan agama rakyat melalui integrasi teknologi tinggi dan pemantapan jati diri kebangsaan. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan kewujudan keseragaman jati diri nasional dalam kalangan semua anak jati Malaysia, sama ada menuntut di sekolah tahfiz, sekolah antarabangsa atau sekolah jenis kebangsaan.

“Pelajar di sekolah pondok dan tahfiz tidak seharusnya terpinggir daripada arus kemodenan dunia, malah perlu dipersiapkan dengan kemahiran masa hadapan,” jelas beliau ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di Universiti Malaysia Sabah (UMS), semalam.

Selain pemantapan identiti, institusi pondok juga bakal menyaksikan suntikan elemen digital yang signifikan melalui pengenalan silibus kecerdasan buatan.

Jelas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kerajaan tidak akan mencampuri urusan manhaj atau kurikulum agama tradisional, namun institusi berikut perlu mengimbangi pengajian kitab lama dengan tuntutan teknologi terkini agar pelajar kekal kompeten dalam ekonomi moden.

Perdana Menteri,  YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI .

Beliau juga berpandangan bahawa pelajar pondok bukan sahaja mahir dalam bidang agama, malah tidak harus ketinggalan dalam landskap ekonomi moden. Langkah ini penting bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan dalam aspek tersebut, sekali gus menjadikan institusi pondok lebih relevan bagi melahirkan modal insan yang berdaya saing.

Bagi menyokong transformasi ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.525 juta bagi kerja penambahbaikan infrastruktur di lima buah sekolah pondok dan tahfiz terpilih di Sabah.

Institusi yang terlibat ialah Pondok Nurul Ihsan dan Pondok Tahfiz As-Salam (Sandakan), Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Babus (Tungku), Pondok Al-Hashimi (Kudat), serta Pondok Fi Zilalil Quran (Kota Belud).

Peruntukan ini merupakan sebahagian inisiatif kerajaan untuk penyambungan semula bantuan kerajaan kepada sekolah agama rakyat yang sebelum ini pernah terbengkalai sejak tahun 2003.

Yang turut hadir  dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Menteri Sabah, YBhg. Datuk Panglima Hajiji Noor; Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Armizan Mohd Ali.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi