Oleh S. Syazan
Diterbitkan pada 28 Jun 2022, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Kangar – Walaupun tidak banyak penerbit buku yang menyertai Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca Perlis, program ini masih mendapat sambutan dan sokongan orang ramai yang memeriahkan suasana. Program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis ini merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan dan turut berlangsung di Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

Yang menariknya, program ini disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca Perlis ini berlangsung selama lima hari bermula pada 25 Jun hingga 29 Jun 2022.

Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memastikan rakyat Perlis tidak melepaskan peluang ke program ini. Antara aktiviti yang menarik termasuklah Bengkel Microsoft Word, Bengkel Deklamasi Berkesan, Pertandingan Karaoke, Pertandingan Mewarna, Bual Bicara Penulis Cilik dan Game Show Kad ASK. Program karnival ini pula  lebih menumpukan perhatian terhadap golongan belia dan pelajar.

Pelbagai program yang menarik disediakan untuk para pengunjung termasuklah pelajar sekolah di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis .

Selain itu, turut berlangsung aktiviti jualan buku, cenderahati dan makanan, info lawatan sambil belajar, Pameran Mobile Planetarium dan Sudut Permainan Ilmu. Aktiviti Pameran Mobile Planetarium menjadi fokus utama pelajar atau kanak-kanak yang hadir dan menarik minat mereka untuk turut serta.

Jualan buku adalah antara aktiviti program Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca Perlis.

Selain itu, para pengunjung turut diberikan diskaun sebanyak 10 peratus bagi setiap pembelian. Bagi setiap pembelian yang melebihi RM20, pengunjung turut berpeluang memenangi cabutan bertuah. Satu inisiatif yang amat menggalakkan oleh mereka yang terlibat bagi memupuk semangat membaca dalam kalangan rakyat negeri Perlis.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi