Diterbitkan pada 6 Oktober 2024, 10:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) (2020-2030) merupakan sebuah kempen memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Malaysia. Selain itu, pelaksanaan DBK telah memperkasakan perancangan dan pemupukan bahasa Melayu tinggi yang melambangkan tamadun bangsa Malaysia berbudaya tinggi dan berakhlak mulia. Pelaksanaan DBK (2020-2030) merealisasikan kedudukan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara bangsa. Hasil inisiatif pelaksanaan tersebut merupakan langkah mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di dunia.

Menurut Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Teks Ucapan Majlis Perasmian dan Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Perlis (2019), Dr. Hazami Jahari menerangkan kedudukan bahasa merupakan tonggak sistem berkerajaan dalam sebuah negara. Demikian juga dengan kedudukan bahasa Melayu yang menjadi tonggak penting sistem kerajaan negara Malaysia dan sistem kerajaan di Alam Melayu. Selain itu, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia yang berfungsi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan bahasa komunikasi. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia menghidupkan kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Kemajuan nilai ekonomi bahasa seiring dengan kepesatan ekonomi negara. Hal ini terbukti apabila ratusan ribu orang Barat mempelajari bahasa Mandarin di negara China sebagai pusat perkembangan ekonomi dunia kini. Selain itu, kemajuan nilai ekonomi bahasa Jepun, bahasa Perancis dan bahasa Jerman telah dipelajari oleh semua bangsa di seluruh dunia. Keunggulan nilai ekonomi bahasa Melayu sebagai lingua franca terpahat dalam sejarah bahasa Melayu dan sejarah kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Keunggulan negara Malaysia ke arah sebuah negara maju telah bergerak seiring dengan hasrat memartabatkan nilai ekonomi bahasa Melayu. Oleh itu, nilai ekonomi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah digunakan dengan meluas dalam sektor awam dan sektor swasta. Hal ini selaras dengan amalan di negara-negara maju yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah mewujudkan perpaduan di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang kaum.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah mewujudkan perpaduan di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berbilang kaum. Selain itu, hubungan antara kaum dan etnik telah membentuk keharmonian masyarakat dan mewujudkan keamanan negara. Kepentingan penyatuan bangsa dan pengukuhan negara bangsa telah memupuk amalan bahasa jiwa bangsa. Maka itu, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh DBP sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pemerkasaan bahasa kebangsaan demi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di Malaysia. Hasilnya, kerajaan telah melaksanakan tiga dasar utama bagi menyatukan bangsa Malaysia dan pembentukan negara bangsa Malaysia melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Penyiaran Negara.

Kepentingan Akta Bahasa Kebangsaan sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Selain itu, kepentingan membudayakan penggunaan bahasa Melayu diteruskan dalam Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan di Malaysia. Ringkasnya, kepentingan membudayakan penggunaan bahasa Melayu dalam semua majlis rasmi dan eksklusif di Malaysia telah mengangkat kewibawaan bahasa Melayu.

 

DBP mendukung peranan sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam menggerakkan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan sempena DBK.

Kejayaan DBK dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia merupakan fokus utama pembentukan negara bangsa Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan 1957, Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (1959), Akta Pelajaran Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 (Ong Loo Chen, 2015: 215). Hasil penggubalan akta-akta tersebut telah berjaya memartabatkan dan mengangkat kedudukan bahasa Melayu. Sokongan dan kerjasama semua pihak dan masyarakat berbilang kaum dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan DBK berjaya memperkasakan peranan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia.

Sambutan DBK tidak dijalankan secara bermusim. Sambutan ini dilaksanakan sebagai usaha menanam rasa kemegahan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hakikatnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah mewujudkan masyarakat berbudaya tinggi dan berminda kelas pertama. Kejayaan Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan pada tahun 2019 merupakan iltizam bagi memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Iltizam ini selaras dengan akta yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Wasiat Raja-Raja Melayu: Perakuan Wasiat Keenam yang telah diperkenankan pada Hari Kemerdekaan Tanah Melayu tanggal 31 Ogos 1957:

“Kami tetapkan bahasa kebangsaan dan bahasa Melayu.”

(Wasiat Raja-Raja Melayu: Perakuan Wasiat Keenam 31 Ogos 1957)

Perakuan Wasiat Keenam dalam Wasiat Raja-Raja Melayu menjelang Perisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu merupakan hasrat dan cita-cita Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai Negarawan Malaysia Pertama dan Perdana Menteri Malaysia Pertama ketika memperjuangkan kemerdekaan di Tanah Melayu. Usaha memartabatkan bahasa Melayu diungkapkan dalam serangkap pantun yang disampaikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Azman Mohd Yusof, Mantan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis dalam Ucapan Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Perlis pada 17 September 2019:

Suasa ditempah di Kuala Pekan,

Dijual merasa di seluruh negara;

Bahasa negara kita utamakan,

Baru maruah dan martabat terpelihara.

(Haji Azman Mohd Yusof, 2019)

DBK merupakan kesinambungan kempen Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menerusi Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, Sambutan Gerakan Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara sejak tahun 1960-an. Kini, langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meraikan sambutan DBK merupakan langkah bagi meneruskan usaha mengangkat kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pelaksanaan DBK bermula pada tahun 2020 hingga 2030 diterajui oleh DBP menerusi sokongan semua jabatan kerajaan, universiti awam (UA), universiti swasta (US) dan syarikat swasta di Malaysia. Malah, pelaksanaan DBK menerusi penganjuran program kebahasaan dan persuratan telah mendapat kerjasama pelbagai agensi luar dan pihak swasta. Hasil sokongan semua pihak dalam menjayakan DBK amat memberangsangkan. Ternyata, pelaksanaan DBK berupaya mengangkat keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang dituturkan oleh penutur bahasa Melayu di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina, Kemboja dan Myanmar di Asia Tenggara.

DBK merupakan kesinambungan kempen Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menerusi Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan sejak tahun 1960-an.

Selain itu, mutu penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam sektor kerajaan dan sektor swasta menjadi agenda utama DBP selaras dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959 (Semakan 1978), Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) dan Akta Pendidikan 1996. Hasilnya, DBP telah menjunjung amanah yang diberikan oleh kerajaan dengan meneruskan penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan setelah Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dilaksanakan menerusi Program Audit Bahasa Melayu (ABM) di semua kementerian dan kerajaan negeri, selain pelaksanaan Program Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Program Jelajah di Universiti bersama Sasterawan Negara (SN). Selain itu, pelaksanaan Program Jelajah di Universiti bersama Sasterawan Negara (SN) turut membuktikan keunggulan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu di universiti. Hasilnya, keunggulan karya-karya agung Sasterawan Negara (SN) yang menghiasi perpustakaan universiti di seluruh Malaysia dijadikan sebagai kajian ilmiah dalam bidang bahasa dan kesusasteraan oleh semua pelajar universiti yang mengambil pengkhususan dalam jurusan Bahasa Melayu, Pendidikan Bahasa Melayu, Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Kesusasteraan.

Ternyata, kejayaan DBK (2020-2030) dalam memartabatkan bahasa Melayu telah berjaya melalui penganjuran Majlis Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan selain kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan sepanjang bulan Oktober hingga bulan Disember setiap tahun. Selain itu, pelaksanaan DBK juga berjaya memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Asia Tenggara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi