Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSandakan – Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Negeri Sabah 2024 pada 10 Oktober lalu, beberapa buah sekolah menengah di sekitar daerah Sandakan telah menyertai program Bersahabat dengan Kamus (BdK) yang menyediakan beberapa aktiviti permainan bahasa yang menarik.
Program BdK kali ini diadakan bersekali dengan Program Pembudayaan dan Pemasyarakatan Kamus Dewan Perdana (KDP) dengan pelibatan sebanyak 75 orang murid dari beberapa buah sekolah menengah.
Aktiviti permainan bahasa kali ini telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Bahagian Perkamusan, DBP Kuala Lumpur dan Politeknik Sandakan.

Aktiviti permainan bahasa dimulakan dengan pembahagian peserta kepada tujuh kumpulan. Murid perlu menjadikan KDP sebagai sumber rujukan utama bagi mencipta nama kumpulan masing-masing yang memberikan makna yang baik dengan merujuk KDP.
Program diteruskan dengan dua aktiviti permainan bahasa, iaitu Roda Kata dan Bisik-bisik KDP yang dikendalikan oleh Puan Noor Ainna Abd Hamid dan dibantu oleh urus setia dari Unit Pembinaan dan Penyelidikan, DBP Sabah dan Politeknik Sandakan.
Aktiviti Roda Kata memerlukan setiap kumpulan membuat tiga kali putaran roda kata digital bagi mendapatkan tiga jenis soalan yang berkaitan dengan kebahasaan untuk diselesaikan dalam kumpulan.

Bisik-bisik KDP pula menjadi aktiviti permainan bahasa yang terakhir yang memerlukan peserta pertama menghafal beberapa baris ayat kemudian membisikkan ayat tersebut kepada peserta kedua dan seterusnya. Peserta terakhir diminta menulis semula perkataan tersebut lalu dibacakan di hadapan semua ahli kumpulan.
Aktiviti permainan bahasa yang berlangsung selama dua jam ini turut dibantu oleh tiga orang pegawai dari Bahagian Perkamusan, DBP Kuala Lumpur.
Dalam sesi akhir aktiviti permainan bahasa, para peserta masing-masing menerima sebuah buku terbitan DBP sebagai cenderamata sebelum program ditutup dengan acara bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan.