Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan yang juga merupakan mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, penggunaan perkataan bahasa Jawa atau Indonesia seperti “ketimbang” merupakan fenomena biasa dari sudut sosiolinguistik sebagaimana penyerapan perkataan lain seperti “beres”, “bobrok”, “bejat”, “aneh”, “awet” dan “pamer”.
Menurut beliau, perkataan “ketimbang” dalam bahasa Jawa menunjukkan makna perbandingan atau perkatan lain yang boleh digunakan ialah “daripada”.
Sebagai contoh, ayat “Perkembangan jumlah penduduk amat ketara ketimbang perkembangan ekonomi” bererti “Perkembangan jumlah penduduk amat ketara berbanding dengan perkembangan ekonomi”.
“Pengenalan penggunaan kata itu di Malaysia oleh Perdana Menteri mengejutkan sesetengah pihak, mungkin kerana kata itu belum biasa digunakan dalam konteks bahasa Melayu di Malaysia.”
“Malah, perkataan tersebut biasa digunakan dalam kalangan orang berketurunan Jawa di Malaysia tetapi belum menjadi lazim dalam kalangan keturunan lain,” katanya.
Menurut beliau lagi, “Sebagaimana beberapa banyak kata bahasa Jawa yang lain, kata itu diserapkan dalam bahasa kebangsaan negara Indonesia dan diterima sebagai bahagian kosa kata atau perbendaharaan kata bahasa Indonesia.”
Selain itu, persoalan berkaitan dengan kemasukan perkataan “ketimbang” dalam kamus bahasa Melayu di Malaysia bergantung pada pertimbangan leksikografi atau ilmu perkamusan.
Beliau berkata,
Kemungkinan kata itu (ketimbang) dimasukkan dalam Kamus Dewan memang ada, jika asas leksikografi atau perkamusan dipenuhi, sebagaimana kata-kata lain yang diserapkan daripada sumber bahasa lain atau dialek.
Antaranya termasuklah kewujudan dan kekerapan penggunaan kata itu dalam wacana seperti berita, teks ucapan, dokumen dan lain-lain.
Walau bagaimanapun katanya, perkataan tersebut mesti diberi label “Jw” yang menunjukkan bahasa asalnya, iaitu Jawa sebagaimana “Ar” untuk Arab, “Ing” untuk Inggeris, “Jkr” untuk Jakarta, “Kl” untuk Kelantan dan sebagainya.
Beliau menjelaskan hal yang demikian ketika ditemu bual oleh wartawan berikutan perkataan “ketimbang” sering diungkapkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat sebelum ini.