Diterbitkan pada 4 Januari 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gombak – Penganjuran program pemantapan bahasa dapat menjana kreativiti pelajar untuk menonjolkan kemahiran berbahasa mereka secara kreatif dan inovatif melalui persembahan idea dan gaya penyampaian yang menarik serta meyakinkan.

Program Pemantapan Bahasa (LEP) ini diadakan pada 3 Januari 2025 merupakan anjuran Divisyen Bahasa Melayu (DBM), Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Prauniversiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Penganjuran LEP pada kali ini telah mendapat tajaan dan sumbangan kepakaran daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Poster Program Pemantapan Bahasa (LEP).

Program ini bertujuan meningkatkan penguasaan dan amalan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar yang dirancang bagi membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan, sama ada di dalam atau di luar persekitaran kampus.

Program ini juga memfokuskan pelibatan khusus oleh pelajar tempatan dan antarabangsa yang mengambil kursus Bahasa Melayu di UIAM bagi Semester 1, Sesi 2024/ 2025. LEP pada kali ini mengangkat tema “Bahasa Sarana Kreativiti dan Inovasi” telah menyajikan tiga acara, iaitu Pertandingan Bijak Eja dan Pertandingan Bicara Berirama bagi kategori pelajar antarabangsa serta Pertandingan Pembentangan Poster Infografik bagi kategori pelajar tempatan.

Juara bagi Pertandingan Bijak Eja  dirangkul oleh Fathima Shamha dari Sri Lanka yang merupakan pelajar di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar. Pemenang tempat pertama membawa pulang hadiah wang tunai tajaan DBP sebanyak RM100.00, buku dan majalah terbitan DBP serta hamper. Naib juara disandang oleh Abdallah Mohamed dari Sri Lanka dan tempat ketiga oleh Naima Ahmed, iaitu pelajar yang berasal dari Amerika Syarikat. Masing-masing menerima hadiah wang tunai tajaan DBP sebanyak RM80.00 dan RM50.00, buku dan majalah terbitan DBP berserta hamper.

Berdasarkan ulasan yang diberikan oleh pihak juri, pertandingan ini dapat membantu pelajar antarabangsa memperluas perbendaharaan kata bahasa Melayu, di samping dapat menguji kebolehan mereka mengeja perkataan mengikut aras kesukaran dan mengetahui terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Para peserta Pertandingan Bijak Ejadalam LEP.

Fathima Shamha sedang beraksi semasa pusingan akhir pertandingan.Selain itu, Pertandingan Bicara Berirama pula telah memberikan pengalaman yang menarik kepada para peserta yang terdiri daripada pelajar antarabangsa dalam mempraktikkan komunikasi asas secara lisan menggunakan bahasa Melayu dengan cara yang kreatif. Semangat yang ditunjukkan oleh para peserta untuk memberikan persembahan yang terbaik membuatkan para penonton juga turut berasa teruja dan seronok menyaksikan persembahan mereka.

Dalam acara ini, kumpulan Aduka dengan tajuk persembahan mereka “Seronoknya di Pasar Malam” telah mengungguli carta pemenang dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 tajaan DBP berserta hamper. Seterusnya, diikuti oleh kumpulan Adiwarna dan Aduka Perkasa sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga. Setiap kumpulan menerima hadiah wang tunai bernilai RM200.00 dan RM160.00 tajaan DBP berserta hamper.

Juara Pertandingan Bicara Berirama (Kumpulan Aduka) bergambar bersama-sama guru pembimbing mereka, Puan Nur Farhana.

Di samping itu, terdapat juga acara yang memberikan peluang kepada pelajar tempatan untuk mempamerkan kemahiran komunikasi bahasa Melayu mereka iaitu menerusi Pertandingan Pembentangan Poster Infografik. Sebanyak lapan kumpulan yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, terdiri daripada pelajar tempatan yang mengambil kursus Bahasa Melayu Kerjaya (Sains Sosial) serta Bahasa Melayu Kerjaya (Sains dan Teknologi).

Tempat pertama disandang oleh Kumpulan Dua dengan tajuk pembentangan poster, “Keris: Perkasa Pusaka Bangsa”. Naib juara pula dimenangi oleh Kumpulan Lima dengan tajuk pembentangan poster “ResQube” dan tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Enam dengan tajuk “Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam P&P Kelas Bahasa Melayu di UIAM”. Para pemenang pertandingan ini telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai, hamper serta buku dan majalah tajaan DBP. Menerusi pertandingan ini, para peserta dinilai dari aspek kemahiran pengucapan awam ketika membentangkan hasil kerja mereka secara kreatif menggunakan bahasa Melayu. Pertandingan ini juga mampu menonjolkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dapat dilihat melalui penggunaan bahasa khususnya aspek penggunaan istilah bahasa Melayu yang dapat disesuaikan mengikut perkembangan sesuatu bidang pengajian.

Kumpulan yang telah menambat hati juri Pertandingan Pembentangan Poster Infografik.
Barisan juri profesional dan ahli jawatankuasa bagi Pertandingan Pembentangan Poster Infografik.

Majlis Penutupan LEP ini telah dirasmikan oleh Pengarah CELPAD, YBrs. Penolong Profesor Dr. Faridah Abdul Malik. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa acara yang dipertandingkan mampu memberikan pengalaman yang menarik kepada pelajar untuk mempelajari bahasa Melayu secara lebih santai. Menurut beliau,

Telatah para pelajar antarabangsa yang berusaha untuk berbahasa Melayu dengan intonasi yang pelbagai dalam Pertandingan Bicara Berirama amat mencuit hati dan menjadikan pertandingan ini sebagai satu kaedah pembelajaran yang menyeronokkan.

Yang turut hadir memeriahkan majlis penutup program tersebut ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Libat Urus Masyarakat, CELPAD, Al-Fadil Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan, CELPAD, YBrs. Dr. Liza Abdullah, Ketua Divisyen Bahasa Melayu, CELPAD, Encik Mohd Fauzan Mat Jam Jam serta pegawai dari Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP, Puan Puteri Nur Qurratu Ain binti Nor Safuan.

Untuk rekod, LEP merupakan program tahunan yang dijalankan pada semester pertama bagi setiap sesi pengajian di UIAM sebagai satu aktiviti wajib kepada para pelajar yang mengambil kursus di CELPAD.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi