Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tinta Sutradara 3.0 anjuran SME Bank dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kembali dengan konsep pertandingan penulisan cerita pendek (cerpen) yang bertemakan “Menyemai Impian, Menuai Kejayaan”.
Pertandingan yang berlangsung selama tiga bulan, bermula dari 10 Januari 2025 hingga 9 April 2025 ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM8500.00 untuk enam orang pemenang dengan pemenang tempat pertama akan membawa pulang RM3000.00; tempat kedua dengan RM2000.00; tempat ketiga dengan hadiah wang tunai berjumlah RM1000.00 dan tiga orang pemenang sagu hati masing-masing akan menerima RM500.00 setiap seorang.
Beberapa syarat telah digariskan oleh pihak penganjur untuk pertandingan menulis cerpen ini, antaranya:
1) Pertandingan ini terbuka untuk semua warganegara Malaysia dan penduduk tetap yang berumur 18 tahun dan ke atas.
2) Para peserta diminta untuk mengikuti sekurang-kurangnya satu laman media sosial SME Bank dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
3) Format yang perlu dipatuhi untuk penulisan cerpen termasuklah tulisan jenis Arial, saiz 12, langkau dua baris dengan minimum jumlah patah perkataan sebanyak 2500 dan hendaklah tidak melebihi 3500 patah perkataan. Penghantaran cerpen hendaklah dalam format docx (Microsoft Word) atau docs. Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab sekiranya karya peserta tidak dinilai disebabkan format yang berbeza.
4) Para peserta hendaklah menghantar karya mereka ke pautan: https://bit.ly/TintaSutradara3 selewat-lewatnya pada 9 April 2025, pada pukul 12.00 tengah malam.
5) Peserta boleh menghantar lebih dari satu penyertaan, namun hanya satu penyertaan sahaja yang akan dikira sebagai pemenang.
6) Karya yang dihantar oleh peserta hendaklah karya asli, tidak memplagiat mana-mana karya, sumber atau bahan-bahan yang diterbitkan oleh mana-mana pihak.
7) Hak cipta kekal milik penulis. Namun, pihak penganjur berhak untuk meletakkan karya pemenang dalam medium sebaran penganjur yang bersifat percuma dengan tujuan sebagai bahan bacaan umum kepada masyarakat.
8) Karya yang terpilih sebagai pemenang akan dinilai oleh pihak penganjur untuk diterbitkan dalam format buku audio.
9) Sebarang penulisan, persembahan penulis dalam penghasilan karya mereka hendaklah jauh dari unsur-unsur subversif, tidak menyentuh isu agama dan bangsa yang bertentangan dengan undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia.
10) Keputusan penganjur adalah muktamad. Sebarang bantahan dan rayuan tidak akan dilayan.
Para peserta yang berminat untuk mengikuti pertandingan ini boleh mengisi pautan ini dan menghantar penyertaan ke pautan berikut: https://www.surveymonkey.com/r/TintaSutradara