Diterbitkan pada 6 Mac 2025, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang menganjurkan pertandingan Mencipta Lagu Kanak-kanak DBP 2025 mulai 28 Februari hingga 31 Mei 2025 bagi menggalakkan kreativiti dalam kalangan komposer dan penulis lagu, khususnya dalam penciptaan lagu untuk kanak-kanak sama ada berirama tradisional atau kontemporari.

Hadiah wang tunai berjumlah RM8100.00 menanti enam orang pemenang, iaitu johan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3000.00, naib johan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2000.00, tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000.00 dan tiga orang pemenang sagu hati akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM700.00 bagi setiap seorang.

Untuk memastikan pertandingan ini berjalan lancar, syarat telah digariskan oleh pihak penganjur seperti yang berikut:

1) Penyertaan adalah secara individu.

2) Pertandingan terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia, manakala urus setia dan ahli keluarga terdekat pihak penganjur tidak dibenarkan sama sekali untuk menyertai pertandingan ini.

3) Penyertaan yang dihantar kepada pihak urus setia hendaklah menggunakan borang yang telah disediakan berserta lampiran seperti yang berikut:

i) Dua audio lagu dalam format MP3 (audio lagu minus-1 dan audio lagu yang akan dinyanyikan).

ii) Lirik lagu yang baik dan betul dalam bahasa Melayu.

iii) Nota lagu lengkap berserta lirik di bawahnya.

4) Peserta boleh menghantar maksimum dua buah lagu bagi setiap kategori. Setiap lagu hendaklah dilabel dan dirakam secara berasingan. Walau bagaimanapun, setiap peserta hanya layak untuk memenangi satu hadiah daripada setiap kategori.

5) Bentuk lagu:

i) Kategori A (Irama bebas kanak-kanak)

  • Bentuk lagu sesuai dengan jiwa dan melambangkan alam kanak-kanak.
  • Alunan lagu atau melodi mestilah mudah untuk dinyanyikan dengan menggunakan nada suara yang selesa dan bersesuaian untuk dinyanyikan oleh kanak-kanak.

ii) Kategori B (Irama tradisional kanak-kanak)

  • Bentuk lagu menjadi penentu lagu tradisional
  • Lagu hendaklah mempunyai unsur atau melodi tradisional atau lagu rakyat Melayu lama dan sesuai untuk dinyanyikan dalam irama tradisional.

6) Format dan panjang lagu adalah seperti yang berikut:

i) Kategori A (6-12 tahun)

Format AB atau (A1A2,B1B2) atau (A1B1,A2B2) atau (ABCD). Panjang lagu hendaklah tidak melebihi 32 bar. Lagu hendaklah dalam rentak bebas dan sesuai untuk kanak-kanak dalam berbagai-bagai tanda masa seperti ²4,³4, ⁴4,⁶8 dan lain-lain.

ii) Kategori B (Irama tradisional kanak-kanak: 6-12 tahun)

Format (AB) atau (A1A2) atau (ABA) atau (A1A2,B1B2) atau (A1A2,BA3). Panjang lagu tidak boleh melebihi 32 bar.

7) Penilaian berdasarkan dua aspek utama, iaitu melodi dan lirik.

8) Lirik lagu hendaklah sesuai untuk peringkat kanak-kanak mengikut kumpulan umur dengan pemilihan kata dan penerapan nilai kemanusiaan, pendidikan, patriotisme, dan motivasi yang dapat meningkatkan pemikiran serta menarik minat kanak-kanak.

9) Lagu hendaklah merupakan karya asal peserta atau ciptaan dan belum pernah diizinkan untuk diterbitkan dalam apa-apa jua bentuk media kepada mana-mana pihak lain. Pihak penganjur juga berhak untuk membatalkan sebarang kemenangan dan penyertaan dan menarik balik hadiah jika pihak penganjur mendapati lagu tersebut bukan ciptaan atau karya asal peserta atau karya tersebut pernah diterbitkan sebelum ini.

10) Penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan lirik lagu adalah tidak dibenarkan sama sekali, sekiranya pihak penganjur mendapati peserta berbuat demikian, secara automatik penyertaan akan dibatalkan.

11) Pihak penganjur mempunyai hak eksklusif untuk menerbitkan sepenuhnya lagu yang menyertai pertandingan ini dalam apa-apa bentuk atau apa-apa format pada masa yang akan datang bagi tujuan mempromosikan hasil karya, menyertai pameran, siaran media dan lain-lain maksud tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada peserta terlebih dahulu.

12) Pihak penganjur juga mempunyai hak untuk menyunting, mengubah suai, menghasilkan semula, mengedar atau menyiarkan untuk tujuan rasmi dan menarik balik mana-mana peraturan tanpa apa-apa notis.

13) Lagu ciptaan peserta yang telah dihantar kepada pihak penganjur tidak dibenarkan untuk dimuat naik ke dalam mana-mana platform media sosial.

14) Sebarang kos penyertaan dan penghasilan karya ditanggung sepenuhnya oleh peserta.

15) Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab sekiranya peserta kehilangan bahan karyanya semasa dalam proses penghantaran. Semua bahan penyertaan tidak akan dikembalikan.

16) Borang penyertaan pertandingan boleh didapatkan melalui pautan : https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSeK_Y1KwOm2V__Sy88I2HYAKs9XHuCJu-EPIYhDwLq1ui0WUw/viewform atau boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan dalam pelantar penerbitan DBP, JendelaDBP (stage.jendeladbp.my) dan media sosial DBP.

17) Kesemua bahan penyertaan seperti yang dinyatakan dalam perkara 2 berserta dengan borang penyertaan hendaklah dihantar kepada urus setia pertandingan pada atau sebelum 1 Jun 2025.

18) Senarai pemenang akan diumumkan melalui JendelaDBP atau melalui media sosial DBP (Facebook: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Twitter: Dewan Bahasa dan Pustaka, Youtube DBP Malaysia) dalam tempoh enam bulan dari tarikh tutup pertandingan.

19) Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang rayuan melalui surat-menyurat tidak akan dilayan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi