Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan di beberapa buah negara ASEAN termasuklah Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia dan beberapa negara yang lain yang mencipta sejarah tersendiri apabila beberapa perkataan daripada bahasa ini dimasukkan sebagai entri Kamus Bahasa Inggeris Oxford pada 26 Mac 2025. Kamus tersebut dikemas kini pada setiap tiga bulan sekali dan yang terkini dilakukan pada bulan Mac 2025.
Terdapat beberapa kosa kata perkataan Melayu yang diserap masuk ke dalam entri kamus tersebut dan boleh dicapai melalui pautan: https://www.oed.com/information/updates/march-2025/new-word-entries/ .
Kepelbagaian hidangan makanan yang popular yang disajikan di negara ini menjadi fokus penambahan kosa kota baharu dalam pengemaskiniannya pada kali ini.
Mengulas tentang penambahan kosa kata baharu tersebut, Oxford menggambarkan hal ini sebagai “perkataan yang tidak boleh diterjemahkan” dan ini merupakan satu daripada kaedah mereka mengembangkan lagi perbendaharaan kata bahasa Inggeris dalam pelbagai bentuk.
Antara perkataan yang ditambah sebagai entri dalam kamus tersebut termasuklah kosa kata “alamak”. Kosa kata ini ditakrifkan sebagai kata seru yang menyatakan kejutan, kekecewaan atau kemarahan.
“Kaya” menerima pengiktirafan sebanyak dua kali daripada Oxford berdasarkan merit tersendiri. Pertama, kata “kaya” merujuk jem yang diperbuat daripada santan, telur dan gula yang kebiasaannya berperisa daun pandan. Kedua, sebagai sebahagian daripada “roti bakar kaya”, “sandwic yang terdiri daripada dua keping roti panggang yang disapu dengan mentega dan kaya”.
Selain itu, yang turut menarik perhatian ialah perkataan “ketupat”, iaitu kek beras kecil yang direbus dalam tenunan daun palma atau daun kelapa ” dan perkataan “nasi lemak” – hidangan nasi Melayu yang dimasak dengan santan dan mempunyai perisa daun pandan, dihidangkan dengan pelbagai hiasan (seperti hirisan timun, ikan bilis goreng, kacang panggang, telur masak dan sambal) dan biasanya dimakan untuk sarapan pagi, dan “otak-otak” yang ditafsirkan sebagai hidangan yang terdapat di kawasan Asia Tenggara, dibuat daripada ikan yang dikisar atau makanan laut yang lain, dicampur dengan rempah ratus dan santan, dibalut dengan daun pisang atau daun kelapa sawit, kemudian dimasak dengan mengukus atau memanggang di atas bara api yang biasanya dihidangkan sebagai hidangan iringan bersama-sama dengan nasi lemak”.
“Kari kepala ikan” ialah “hidangan yang dipengaruhi oleh masakan masyarakat Cina dan India Selatan. Bahan utamanya ialah kepala ikan yang besar, biasanya ikan air tawar laut atau kakap, dimasak dalam kuah kari berasaskan asam jawa yang masam dengan sayur-sayuran seperti terung dan bendi” – dan “telur separuh masak” – telur yang telah dimasak sebentar dalam air yang baru direbus agar kuning telur dan putihnya kekal cair, dibuka dan dihidangkan dalam mangkuk, ditambah dengan kicap dan lada putih”.
Dengan beberapa jenis makanan yang telah ditambah, istilah “tapau” – untuk menyimpan (makanan atau minuman) dari restoran atau kedai yang telah disediakan untuk dimakan di luar premis ini, turut dimasukkan.
Kosa kata yang lain termasuklah “mat rempit” – merujuk kepada seorang lelaki (kebiasaannya muda) mengambil bahagian dalam perlumbaan jalanan motosikal haram dan sering melakukan aksi berbahaya.
Sepuluh perkataan dari negara Asia Tenggara yang lain terutamanya dari Filipina juga memasuki senarai entri kamus ini, iaitu “cyclo”, “kababayan”, “lumpia”, “gigil”, “salakot””, “sando”, “thomasite” dan “vidoke”.
Beberapa perkataan dengan kata akar berasal dari pelbagai bahasa seperti Sepanyol, Puerto Rico, Amerika Syarikat, British dan Amerika Selatan turut ditambah masuk ke senarai, selain daripada beberapa kosa kata lain daripada pelbagai disiplin ilmu.
Hal ini mencerminkan perkembangan dalam teknologi, budaya popular, dan kumpulan umur, misalnya seperti “Gen Alpha“, “large language model“, dan “vape” turut tersenarai.