Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tahukah anda bahawa masyarakat pengguna bahasa sering terkeliru tentang ejaan kata majmuk? Mereka sering melakukan kesalahan ketika mengeja kata majmuk pada papan tanda, papan iklan, papan tanda restoran dan papan tanda berlampu. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekeliruan dalam mengeja kata majmuk. Masyarakat masih tidak dapat membezakan kata majmuk yang dieja secara rapat dengan kata majmuk yang tidak perlu dieja secara rapat. Secara tidak langsung, kekeliruan ini menyebabkan pelbagai kesalahan ejaan kata majmuk sehingga menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Kata majmuk tercipta apabila dua atau lebih kata dasar digabungkan menjadi satu kata yang baharu dan membentuk makna tertentu. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2024), kata majmuk dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Umum mengetahui bahawa ejaan kata majmuk mempunya dua bentuk, iaitu kata majmuk yang diserangkaikan dan kata majmuk yang tidak diserangkaikan atau dieja secara terpisah.

Kebanyakan kata majmuk dieja secara terpisah, namun terdapat beberapa kata majmuk yang dieja secara rapat. Kata majmuk yang dieja secara rapat atau diserangkaikan ini dikenali sebagai kata majmuk mantap. Kata majmuk mantap ialah kata majmuk yang sudah mantap dari segi penggunaannya sehingga tidak perlu diubah dan dikecualikan dalam ejaan kata majmuk asal. Hanya 15 kata majmuk yang dikategorikan sebagai kata majmuk mantap seperti yang berikut:

  • antarabangsa
  • beritahu
  • bumiputera
  • kakitangan
  • kerjasama
  • jawatankuasa
  • matahari
  • olahraga
  • pesuruhjaya
  • setiausaha
  • sukarela
  • suruhanjaya
  • tandatangan
  • tanggungjawab
  • warganegara

Hanya 15 kata majmuk ini sahaja yang dieja secara rapat. Namun begitu, kebanyakan kata majmuk sering dieja secara rapat dalam pelbagai medium seperti teks, poster, kertas kerja, risalah, surat khabar, dan buku. Tambahan pula, pengguna media sosial seperti Tiktok, Instagram, Twitter, dan Whatsapp juga sering mengeja kata majmuk secara rapat. Mereka menggugurkan konsonan akhir perkataan pertama yang sama dengan konsonan awal bagi perkataan kedua. Sebagai contoh, perkataan urus setia, tengah hari, dan bandar raya dieja secara rapat, iaitu urusetia, tengahari, dan bandaraya. Huruf konsonan akhir pada perkataan pertama telah digugurkan dan perkataan kedua digabungkan dengan perkataan pertama. Ketiga-tiga perkataan ini seharusnya dieja secara terpisah. Namun demikian, bagi kata nama khas seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ejaan bandar raya dikecualikan kerana ejaan DBKL telah digazetkan sebelum tahun 1970. Kata nama khas yang menggunakan kata majmuk “bandar raya” selepas tahun 1970 perlu dieja secara terpisah.

Selain daripada pengguguran konsonan akhir perkataan pertama, masyarakat sering mengeja perkataan seperti atur cara, lebuh raya, dan kuat kuasa secara rapat, iaitu aturcara, lebuhraya, dan kuatkuasa. Kesalahan dalam mengeja ketiga-tiga perkataan ini sering dilakukan pada papan tanda, papan notis, papan iklan, tentatif program, teks, kertas kerja, dan surat khabar. Selain itu, kesalahan ejaan kata majmuk juga terdapat pada istilah sains dan matematik seperti isipadu, janakuasa, dan segitiga. Ejaan yang betul bagi ketiga-tiga perkataan tersebut ialah isi padu, jana kuasa, dan segi tiga. Kesalahan dalam mengeja kata majmuk ini secara tidak langsung bukan sahaja mengelirukan pengguna bahasa Melayu malahan penutur asli bahasa Melayu itu. Yang berikut merupakan kesalahan ejaan kata majmuk yang lazim dilakukan oleh pengguna bahasa:

  • aturcara
  • bandaraya
  • campurtangan
  • gambarajah
  • gunatanah
  • hakmilik
  • ibubapa
  • jalanraya
  • janakuasa
  • keretapi
  • kuatkuasa
  • lebuhraya
  • pasaraya
  • penguatkuasa
  • pilihanraya
  • rekabentuk
  • senireka
  • semulajadi
  • tengahari
  • temubual
  • temuduga
  • ulangtahun
  • urusetia
  • usahasama

Pada dasarnya, kesalahan dalam mengeja kata majmuk ini mungkin disebabkan oleh ejaan lama. Kebanyakan ejaan kata majmuk yang lama dieja secara rapat. Masyarakat telah terbiasa dengan ejaan lama sehingga mereka tidak arif tentang ejaan baharu. Mereka juga akan berasa janggal apabila melihat ejaan baharu. Tambahan pula, mereka akan merasakan bahawa ejaan baharu tersebut salah. Hal ini bertambah parah apabila generasi muda juga terpengaruh dengan ejaan lama dan tidak didedahkan dengan ejaan baharu di rumah dan di sekolah.

Kata majmuk yang seharusnya dieja secara terpisah boleh dieja secara rapat apabila kata majmuk tersebut menerima imbuhan apitan seperti imbuhan ke-…-an, meN-…-an, dan peN-…-an. Sebagai contoh, kata majmuk “ubah suai” dan ‘kuat kuasa” boleh dieja secara rapat apabila menerima imbuhan apitan seperti ‘pengubahsuaian’ dan ‘menguatkuasakan’. Namun demikian, apabila kata majmuk tersebut hanya menerima imbuhan awalan atau imbuhan akhiran, kata majmuk tersebut kekal dieja secara terpisah, misalnya “mengubah suai” dan “penguat kuasa” atau “berkuat kuasa”. Kedua-dua perkataan tersebut sering kali dieja secara rapat walaupun kedua-dua perkataan tersebut hanya menerima imbuhan awalan. Sebagai contoh, perkataan mengubah suai dan penguat kuasa atau berkuat kuasa sering dieja secara rapat. Hal ini adalah salah.

Kata majmuk terdiri daripada empat binaan, iaitu gabungan kata tunggal dengan kata tunggal, gabungan kata tunggal dengan kata terbitan, gabungan kata terbitan dengan kata tunggal dan gabungan kata terbitan dengan kata terbitan. Yang berikut merupakan contoh bagi setiap binaan tersebut;

Kata tunggal dengan kata tunggal

  • isi padu, jana kuasa, kenal pasti

Kata tunggal dengan kata terbitan

  • batu loncatan, buruh binaan, mata pelajaran

Kata terbitan dengan kata tunggal

  • mengenal pasti, penguat kuasa, pilihan raya

Kata terbitan dengan kata terbitan

  • penyata tahunan, pengawal keselamatan, pengurus kewangan

Terdapat tiga jenis kata majmuk dalam bahasa Melayu, iaitu kata majmuk yang berbentuk rangkai kata bebas, kata majmuk yang mempunyai istilah khusus, dan kata majmuk yang membawa maksud kiasan. Contoh perkataan bagi kata majmuk rangkai kata bebas termasuklah alat tulis, bandar raya, dan tengah hari. Contoh perkataan bagi kata majmuk yang mempunyai istilah khusus pula ialah perkataan segi tiga yang digunakan dalam bidang matematik, perkataan atur cara yang digunakan dalam protokol, dan perkataan darah panas yang diguna pakai dalam bidang sains. Bagi kata majmuk kiasan pula termasuklah “anak emas” yang bermaksud anak yang disayangi oleh ibu bapa, “duit kopi” yang bermaksud wang sogokan, dan “kaki ayam” yang bermaksud tidak berkasut.

Terdapat juga perkataan yang seakan-akan kata majmuk, namun sebenarnya perkataan tersebut bukanlah kategori kata majmuk. Sebagai contoh, perkataan peribadi, peribahasa, dinihari, kepada, daripada, manakala, barangkali, sukacita, dan dukacita bukanlah kata majmuk. Namun demikian, perkataan tersebut dieja secara rapat atau diserangkaikan kerana perkataan tersebut merupakan gabungan kata dasar yang dapat berdiri sendiri dengan kata dasar yang tidak boleh berdiri sendiri. Misalnya, perkataan “suka” dalam kata “sukacita” boleh berdiri sendiri, namun perkataan “cita” dalam kata tersebut tidak boleh berdiri sendiri melainkan kata tersebut digandakan menjadi “cita-cita”.

Kesimpulannya, penggunaan kata majmuk yang betul perlu diperluas. Tanggungjawab ini perlu digalas oleh setiap lapisan masyarakat. Setiap ahli masyarakat perlu mengambil tahu dan cakna tentang penggunaan kata yang betul dan tepat. Kesedaran ini akan dapat membantu generasi muda agar tidak melakukan kesilapan dalam penggunaan bahasa kebangsaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi