Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 11:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah melancarkan sebuah koleksi buku cerita kanak-kanak Siri Bebas Rokok hasil terbitan kerjasama Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.

Acara pelancaran buku berkenaan diadakan dalam Majlis Perasmian Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan di Universiti Cyberjaya bersempena dengan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan “Membongkar Daya Tarikan: Menyingkap Taktik Industri terhadap Produk Tembakau dan Nikotin”.

Selain itu, acara itu turut disaksikan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Pengarah Pusat Racun Negara, YBrs. Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman.

Pelancaran koleksi buku cerita kanak-kanak Siri Bebas Rokok dalam Majlis Perasmian Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan di The Grand Hall, Universiti Cyberjaya.

Secara keseluruhan, buku cerita kanak-kanak Siri Bebas Rokok terdiri daripada dua siri utama melibatkan 12 judul buku dengan siri pertama merupakan terbitan Pusat Racun Negara, USM, manakala siri kedua pula diterbitkan oleh DBP.

Antara judul yang terdapat dalam siri pertama termasuklah Siti Pergi Bercuti, Kenapa Adi Gembira?, Gigi Atuk Kuning, Ayah, Amin Sesak Nafas!, Hadiah Teristimewa dan Projek Husna.

Sementara itu, siri kedua terbitan DBP memuatkan judul seperti Adib Benci Asap Rokok, Jojo yang Berani, Ikan Yusuf Sakit, Fifi ke Pasar, Sarang Eli Musnah dan Pisang Lagi Sedap.

YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika meninjau reruai Pusat Racun Negara dan beramah mesra dengan para penulis buku cerita kanak-kanak Siri Bebas Rokok.

Koleksi buku ini merupakan sebahagian daripada produk pendidikan yang diterjemahkan daripada dapatan penyelidikan “The Clearinghouse for Tobacco Control” oleh Pusat Racun Negara, USM sebagai usaha mendidik dan memberikan kesedaran kepada kanak-kanak tentang bahaya merokok sejak usia muda.

Siri buku ini juga merupakan hasil penyelidikan dan fakta ilmiah berkaitan dengan bahaya tabiat merokok dan kesan asap rokok yang ditampilkan dalam bentuk cerita kanak-kanak yang lebih santai, ringkas dan mudah difahami.

Tambahan lagi, paparan ilustrasi yang menarik dan ceria bukan sahaja dapat menarik minat kanak-kanak untuk membaca buku ini, malah menggalakkan mereka menjadi ejen perubahan dalam membentuk generasi bebas rokok.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (dua dari kiri) ketika menyerahkan cenderamata koleksi buku cerita kanak-kanak Siri Bebas Rokok kepada YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) dengan disaksikan oleh YBrs. Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman (kanan) dan Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja, YBrs. Puan Noriyani Yusoff (dua dari kanan).

Dalam pada itu, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam ucapan perasmiannya turut menyentuh tentang penerbitan buku ini merupakan satu usaha berterusan dalam mendidik bukan sahaja golongan perokok untuk melakukan perubahan positif, tetapi juga ke arah membentuk generasi yang bebas daripada pengaruh rokok.

Pusat Racun Negara, USM menerusi buku Siri Bebas Rokok terus mendidik dan memperkasakan bukan sekadar perokok (untuk berubah), tetapi ke arah melahirkan generasi bebas rokok.

YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam Majlis Perasmian Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan di Universiti Cyberjaya.

Yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut termasuklah Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Ismuni Bohari; Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit), YBrs. Dr. Noraryana Hassan; Naib Canselor Universiti Cyberjaya, YBhg. Professor Dr. David Whitford dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Saunthari Somasundaram.

Barisan tetamu kenamaan yang hadir dalam Majlis Perasmian Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan.
Barisan pegawai DBP dan Pusat Racun Negara, USM bersama-sama dengan para penulis di reruai Pusat Racun Negara.
Kredit Foto: Zulhilmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi