Diterbitkan pada 30 Jun 2025, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

TikTok, Instagram, X, Facebook, WhatsApp dan media sosial yang lain telahpun mendominasi pergaulan harian masyarakat hari ini di media sosial. Media sosial bukan sahaja menjadi ruang untuk rehat minda, berhibur dan mengekspresikan diri, berkongsi maklumat serta mengikuti perkembangan semasa yang lebih sohor kini. Namun, secara sedar ataupun tidak keghairahan ini memunculkan cabaran besar kepada penggunaan bahasa, khususnya bahasa Melayu.

Norma penggunaan bahasa kebangsaan telah pun berubah dengan begitu ketara. Pengguna lebih cenderung menggunakan bentuk bahasa yang tidak baku, mencampuradukkan bahasa, memendekkan perkataan, serta mencipta istilah baharu yang tidak terdapat dalam kamus. Perubahan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli bahasa, pendidik, dan pencinta bahasa kerana fenomena telahpun menghakis keindahan dan ketepatan bahasa Melayu.

Tularnya ayat seperti “I rasa you patut buat benda tu now before it’s too late”,“Dah try this product?, “Memang best gila, serious tak tipu.” dan banyak lagi semakin hari semakin mengganggu keaslian dan kefasihan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak secara berleluasa menyebabkan berlakunya penghakisan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Lama-kelamaan tanpa dibendung akan menjadi satu kendala yang membawa kerugian besar kepada negara kita, kerana bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga lambang budaya dan identiti bangsa.

Perkara ini mungkin kelihatan remeh, tetapi jika dibiarkan tanpa teguran akan membentuk tabiat negatif dalam kalangan pelajar yang masih dalam proses mempelajari struktur bahasa yang betul. Dalam jangka panjang, ini boleh menyebabkan kemerosotan standard bahasa dalam kalangan generasi muda. Main air basah, main api letur, main pisau luka.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa media sosial juga mempunyai potensi besar dalam memartabatkan Bahasa Melayu jika dimanfaatkan dengan betul. Terdapat banyak pencipta kandungan yang menghasilkan video dan bahan bacaan berkualiti dalam bahasa Melayu. Misalnya, pengguna TikTok yang menyampaikan fakta sejarah, kesedaran sosial, tip belajar, dan informasi kesihatan dalam bahasa Melayu yang betul dan menarik. Usaha seperti ini patut dipuji dan diberi sokongan kerana ia bukan sahaja memperkasa bahasa, malah menjadikannya relevan dan berguna kepada pengguna moden.

Selain itu, institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga telah mengambil langkah proaktif dalam memanfaatkan media sosial sebagai platform untuk mendidik masyarakat mengenai penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Melalui hantaran kreatif, infografik, kuiz bahasa, dan sesi soal jawab bersama pakar bahasa, DBP berjaya menjadikan kandungan bahasa lebih mesra pengguna dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat seperti Facebook, TikTok, Instagram, X, dan YouTube DBPMalaysia.  JendelaDBP juga telah merancakkan kandungan bahasa Melayu dengan wajahnya yang tersendiri. Sejak pembangunannya pada Mei 2021 hingga 1 Mei 2023, JendelaDBP telah diakses oleh 3 114 992 pelayar dari 147 buah negara. Sinergi dan jalinan kerjasama pengguna bahasa Melayu amatlah diperlukan dan tindakan ini mampu mempromosikan pemahaman dan kecintaan terhadap bahasa Melayu.

Untuk memastikan penggunaan Bahasa Melayu di media sosial terus terpulihara dan terpelihara, pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Guru, sebagai pendidik di sekolah boleh mengintegrasikan media sosial dalam pembelajaran bahasa Melayu dengan cara yang berkesan. Sebagai contoh, guru boleh meminta pelajar membuat ulasan buku dalam bentuk video TikTok menggunakan bahasa baku, atau menulis catatan refleksi dalam gaya blog yang menepati tatabahasa yang betul. Amat digalakkan agar pengguna mengunakan Kamus Dewan Perdana sebagai teman rujukan selain daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Melalui pendekatan ini, pelajar akan menyedari bahawa Bahasa Melayu juga boleh digunakan dalam konteks moden dan menyeronokkan.

Ibu bapa pula boleh menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam perbualan di rumah dan komunikasi dalam talian. Walaupun kita hidup dalam zaman yang serba moden, usaha untuk mengekalkan penggunaan bahasa yang sopan dan tepat perlu dimulakan dari rumah. Malah, ibu bapa juga boleh bersama-sama mengikuti akaun media sosial yang memberi manfaat dari segi bahasa agar dapat memberikan pendedahan tambahan kepada anak-anak.

Tidak kurang pentingnya, pengguna media sosial sendiri harus lebih bertanggungjawab terhadap bahasa yang digunakan. Walaupun media sosial memberikan kebebasan berkomunikasi, kebebasan itu perlu disertai dengan kesedaran bahawa setiap pilihan perkataan kita mencerminkan identiti dan jati diri bangsa. Jika kita sendiri tidak menghargai bahasa Melayu, siapa lagi yang akan memperjuangkannya? Oleh itu, sebagai pengguna bijak, kita boleh mula dengan langkah kecil seperti menggunakan ejaan yang betul, mengelakkan bahasa kasar, dan memperbanyakkan penggunaan istilah Bahasa Melayu dalam setiap hantaran.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di media sosial, peranan institusi pengajian tinggi juga tidak boleh diketepikan. Golongan mahasiswa yang mempunyai pengaruh besar dalam membentuk wacana dalam talian amat digalakkan menjadi ikon atau agen ikutan kepada para remaja. Oleh itu, pihak universiti boleh menggalakkan pelajar untuk menghasilkan kandungan kreatif dalam bahasa Melayu seperti puisi digital, video pendidikan, dan artikel ilmiah yang dikongsi melalui platform seperti Instagram atau YouTube. Penganjuran pertandingan penulisan atau penceritaan digital juga boleh membantu mencungkil bakat pelajar dalam menghasilkan kandungan berkualiti dalam bahasa kebangsaan.

Sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, bahasa Melayu seharusnya dikekalkan martabatnya dalam semua bentuk komunikasi, sama ada secara lisan mahupun tulisan. Media sosial sememangnya memberi kesan yang besar terhadap penggunaan bahasa Melayu, baik dari segi positif mahupun negatif. Kesan negatif seperti ejaan, penggunaan bahasa rojak, singkatan melampau, dan kesalahan tatabahasa perlu diberi perhatian serius agar tidak terus menghakis nilai dan keindahan bahasa kita. Tuntutan kepada sedar ruang dan faham nilai oleh pengguna media sosial akan membuka ruang luas untuk mempromosikan bahasa Melayu kepada khalayak yang lebih besar dan berbilang latar belakang dengan menggunakan bahasa yang betul, dan menyokong kandungan yang membina dan memperkasa bahasa kebangsaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi