Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menjadi tuan rumah bagi menyantuni pakar bahasa dari seluruh dunia bersempena dengan Seminar Antarabangsa Leksikografi, Ensiklopedia dan Terminologi (LETS 2025) bermula dari 4 November hingga 5 November 2025.
Seminar tersebut merupakan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan UPM yang mengangkat tema “Melestarikan dan Menginovasi Bahasa dalam Era Digital”.
LETS 2025 yang akan menampilkan pengucap utama, iaitu Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Emile Badih Yaacoub dari Lubnan ini dan akan membincangkan dua subtema utama, iaitu “Pendokumentasian dan Advokasi” serta “Teknologi dan Inovasi”.
Tumpuan seminar pada kali ini bukan sahaja terhadap kerja asas seperti penyusunan kamus, ensiklopedia dan istilah, tetapi juga kaedah teknologi terkini dapat digunakan untuk memajukan bahasa termasuklah terjemahan automatik, reka bentuk pangkalan data linguistik, dan pembangunan aplikasi mudah alih untuk kamus.
Bersempena dengan seminar ini, pihak penganjur menguar-uarkan “Panggilan Abstrak” kepada individu yang berminat. Tarikh akhir bagi penghantaran abstrak adalah pada 30 Julai 2025. Pengumuman penerimaan abstrak akan dibuat pada 10 Ogos 2025, manakala tarikh akhir penghantaran kertas kerja penuh adalah pada 15 September 2025.
Yuran pendaftaran seminar ini berbeza mengikut kategori. Bagi peserta tempatan (dari Malaysia), yuran penyertaan (peserta/pembentang) adalah sebanyak RM200.00 untuk orang awam dan RM80.00 untuk pelajar. Bagi peserta antarabangsa pula, yuran pendaftaran adalah USD50.00 (peserta/pembentang) dan USD70.00 (biasa) bagi kategori umum, manakala bagi pelajar, yuran adalah USD20.00 dan USD30.00 masing-masing. Yuran penyertaan biasa pula adalah RM220.00 untuk umum dan RM100.00 untuk pelajar.