Diterbitkan pada 22 Julai 2025, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Makna perkataan semu menurut Kamus Dewan Perdana (2020) ialah seakan-akan benar, wujud dan sebagainya, tetapi hakikat sebenar ialah sebaliknya. Kamus Dewan Edisi Keempat (2016) pula memerikan semu sebagai bukan yang sebenarnya atau tidak sesungguhnya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa perkataan semu merujuk sesuatu perkara atau benda yang seolah-olah wujud dan benar, tetapi hakikatnya perkara atau benda itu tidak wujud atau tidak benar. Dalam konteks kata ganda semu, perkataan yang dikatakan sebagai bentuk kata ganda itu sebenarnya bukanlah kata ganda walaupun bentuknya seperti kata ganda. Hal ini, merujuk perkataan seperti anai-anai, kupu-kupu, kanak-kanak, kura-kura, sia-sia, kunang-kunang dan lain-lain.

Tatabahasa Dewan tidak memasukkan kata ganda semu sebagai satu daripada bentuk kata ganda hasil proses penggandaan. Naskhah yang menjadi tatabahasa pegangan di sekolah ini, menyenaraikan tiga jenis bentuk kata ganda, iaitu kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak.

Naskhah tatabahasa yang lain seperti Linguistik Am oleh Abdullah Hassan (2007) dan Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu oleh Asraf (2012) turut tidak memasukkan kata ganda semu dalam kategori bentuk kata ganda. Asmah Hj. Omar pula menerusi Nahu Melayu Mutakhir (2015 – cetakan pertama 1980) menamakan bentuk gandaan asal untuk merujuk perkataan seperti biri-biri, paru-paru, anai-anai, pura-pura, was-was dan lain-lain.

Perbincangan tentang kata ganda semu telah diutarakan dalam beberapa naskhah bahasa sebelum dan selepas terbitnya Tatabahasa Dewan. Raminah Sabran dan Rahim Syam menerusi naskhah Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan (1984) telah menggunakan perkataan semu dalam perbincangan yang berkaitan dengan kata ganda. Menurut mereka, penggandaan mempunyai lima pecahan dan penggandaan semu ialah satu daripadanya. Menurut mereka lagi, penggandaan semu ialah penggandaan yang telah sebati dengan perkataan itu. Jika perkataan itu tidak digandakan, maka maknanya menjadi tidak jelas. Contoh kata ganda hasil penggandaan semu yang dicatatkan ialah labi-labi, kunang-kunang dan pura-pura. Pada masa itu, naskhah ini merupakan antara rujukan utama bakal guru yang mengikuti latihan keguruan di maktab perguruan yang kini dikenali dengan nama Institut Pendidikan Guru (IPG).

Selain perkataan semu yang pernah digunakan dalam naskhah bahasa terdahulu, perbincangan tentang kata ganda semu sebenarnya terkait dengan konsep penggandaan dan kata ganda itu sendiri. Tatabahasa Dewan (2015 – cetakan pertama 1986), mendefinsikan penggandaan sebagai proses menggandakan kata dasar. Proses itu melibatkan penggandaan kata dasar sepenuhnya, separa atau berentak yang menghasilkan bentuk kata ganda penuh, separa dan berentak. Kata dasar yang terlibat ialah bentuk kata tunggal, kata terbitan dan kata majmuk. Tafsiran tentang konsep penggandaan dan kata ganda inilah yang melahirkan pandangan tentang kewujudan satu bentuk kata ganda bagi mewakili sekumpulan perkataan yang sememangnya wujud dalam bentuk gandaan yang tidak dapat dipastikan kata dasarnya. Apakah kata dasar yang digandakan sehingga menghasilkan bentuk kata ganda yang dinamakan kata ganda semu seperti perkataan labi-labi, kunang-kunang dan pura-pura?

Lazimnya, dalam proses pembentukan kata, kata dasar menerima imbuhan (pengimbuhan), dirangkaikan atau digabungkan (pemajmukan) atau digandakan (penggandaan). Bagi setiap proses tersebut, kata dasar mengalami perubahan bentuk kata atau ada sebahagiannya yang kekal seperti kata terbitan yang menjadi kata dasar dalam proses pengimbuhan. Dari segi makna, kata dasar mengalami peluasan makna dengan terbitnya kata-kata yang baharu. Jika imbuhan, rangkaian atau gabungan dan gandaan kata dipisahkan daripada kata dasar, perkataan tersebut kembali seperti asal sebelum berlakunya proses pembentukan kata. Dalam hal ini, bentuk kata seperti anai-anai, kupu-kupu, kunang-kunang, sia-sia, pura-pura dan yang sama bentuk dengannya tidak dapat dipisahkan kerana kewujudannya secara utuh dan sememangnya begitu sejak asal. Jika dipisahkan juga, tiada kata dasar yang jelas untuk perkataan tersebut.

Zaidi Ismail (penyusun) dalam naskhah Kata Ganda Bahasa Melayu: Tinjauan Bentuk Berdasarkan Data Korpus (KGBM) yang diterbitkan pada tahun 2008 menghuraikan bentuk kata ganda semu dengan agak terperinci. KGBM menyatakan bahawa setiap kata ganda yang terbentuk melalui proses penggandaan sepatutnya boleh dikembalikan kepada bentuk asalnya, iaitu kata dasar. Hal ini berkaitan dengan konsep penggandaan, iaitu proses menggandakan kata dasar. Oleh hal yang demikian, jika sesuatu kata yang dikategorikan sebagai kata ganda yang ditulis dengan tanda sempang tetapi tidak dapat dikembalikan kepada bentuk asal, maka kata tersebut tidak boleh dianggap sebagai kata ganda yang sebenarnya. Atas asas pertimbangan sedemikian dan menepati konsep penggandaan itu sendiri, naskah ini tidak menganggap perkataan-perkataan itu sebagai kata ganda yang sebenar tetapi mengkategorikannya sebagai kata ganda semu.

Kata ganda semu menurut KGBM ialah kata yang kelihatan seperti kata ganda dan hanya terdapat dalam bentuk gandaan. Sekiranya tidak digandakan, kata itu tidak mempunyai makna atau maknanya berlainan sama sekali dengan bentuk yang digandakan. Menurutnya lagi, kedua-dua unsur yang membentuknya merupakan kata dasar dan satuan kata yang utuh. Baginya, kata dasar bagi kata ganda ialah kata yang menjadi asas kepada pembentukan kata ganda yang boleh terdiri daripada kata tunggal, kata berimbuhan, frasa ataupun kata majmuk. Antara perkataan yang tergolong dalam kategori ini ialah kura-kura, olok-olok, rama-rama, sepoi-sepoi, was-was, masing-masing dan sebagainya.

Oleh hal yang demikian, KGBM telah membahagikan kata ganda kepada dua bentuk utama, iaitu kata ganda tulen dan kata ganda semu. Menurut KGBM, kata ganda tulen ialah kata ganda yang sebenarnya manakala kata ganda semu tidak termasuk dalam bentuk kata ganda tulen. Terdapat empat jenis kata ganda tulen, iaitu kata ganda penuh, kata ganda separa, kata ganda berentak dan kata ganda berimbuhan. Setiap jenis kata ganda ini mempunyai subkategori masing-masing. Kata ganda semu pula ialah kata yang kelihatan seperti kata ganda yang turut dikenali dalam bahasa Melayu dengan istilah kata ganda asal. Berdasarkan data korpus, KGBM membahagikan kata ganda semu kepada kepada empat jenis, iaitu semu biasa, semu berentak, semu berimbuhan dan semu berimbuhan asal (jati).

Menurut KGBM, kata ganda semu biasa ialah kata ganda yang kelihatan seperti kata ganda penuh. Contoh perkataan ialah kupu-kupu, labah-labah, olok-olok, ura-ura, undang-undang, sia-sia, pura-pura dan masing-masing. Kata ganda semu yang kedua ialah kata ganda semu berentak, iaitu kata ganda semu yang mempunyai perbezaan bunyi antara unsur pertama dengan unsur kedua. Kedua-dua unsur yang membentuk kata ganda semu ini merupakan satu satuan yang utuh dan tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan satu daripada unsur itu tidak mempunyai makna seperti perkataan huru-hara, kucar-kacir, mundar-mandir, porak-peranda, serta-merta, dan selok-belok. 

Kata ganda semu berimbuhan pula ialah kata ganda semu yang menerima imbuhan sama ada imbuhan awalan, akhiran ataupun apitan. Kata dasar bagi kata ganda semu berimbuhan ialah kata ganda semu biasa dan kata ganda semu berentak. Antara contoh perkataan kata ganda semu berimbuhan yang bersumberkan kata dasar daripada kata ganda semu biasa ialah berhati-hati, berpura-pura, tersipu-sipu, sia-siakan, kepura-puraan, mensia-siakan, dan disia-siakan. Contoh perkataan kata ganda semu berimbuhan yang bersumberkan kata dasar daripada kata ganda semu berentak ialah menghuru-harakan, mengucar-ngacirkan, memporak-perandakan, diperkotak-katikkan dan memperkotak-katikkan.

Selain KGBM, Tatabahasa Asas oleh Ahmad Khair Mohd Nor, et.al (2012) turut membincangkan kata ganda semu. Namun begitu, perbincangannya tidaklah terperinci seperti yang dibincangkan oleh KGBM. Tatabahasa Asas merupakan antara naskhah rujukan utama subjek Bahasa Melayu untuk para pelajar prauniversiti. Naskhah ini menjelaskan bahawa kata ganda semu ialah bentuk kata ganda yang terbentuk seperti kata ganda penuh tetapi apabila kata dasar dipisahkan daripada kata ulangannya, kata dasar itu tidak memberikan sesuatu makna yang khusus, atau jika ada maknanya pun, berlainan sama sekali dengan makna kata ganda yang asal. Contoh perkataan ialah kura-kura, ura-ura, agar-agar, mentang-mentang, kunang-kunang, ari-ari, kanak-kanak, bibit-bibit, dan pura-pura. Dalam golongan kata nama, kata ganda semu yang disenaraikan ialah labi-labi, kanak-kanak, labah-labah, kisi-kisi dan anai-anai. Manakala perkataan seperti kadang-kadang dan pura-pura dimasukkan dalam kategori kata adverba.

Berdasarkan konsep yang dinyatakan oleh Tatabahasa Asas tentang kata ganda semu, naskhah ini masih melihat kata ganda semu dibentuk dalam kerangka penggandaan kata dasar dan bukannya gandaan yang telah sedia wujud. Naskhah itu masih beranggapan bahawa satu daripada unsur atau perkataan yang membentuk kata ganda semu merupakan kata dasar yang menurutnya apabila kata dasar dipisahkan daripada kata ulangannya, kata dasar itu tidak memberikan sesuatu makna yang khusus. Hal ini berbeza dengan maksud semu yang dinyatakan dalam kamus dan kaitan makna semu dalam konteks kata ganda semu. Oleh hal yang demikian, Tatabahasa Asas dan KGBM menginterpretasikan kata ganda semu dari sudut yang berbeza walaupun contoh perkataan yang sama. Tatabahasa Asas masih menggunakan konsep penggandaan dalam pembentukan kata ganda semu manakala KGBM melihat kata ganda semu sebagai satu satuan yang utuh yang sememangnya wujud dalam bentuk gandaan.

Selain itu, Noresah Baharom (2020) dalam Sehari Sepatah Kata turut membincangkan secara ringkas tentang kata ganda semu. Menurutnya, perkataan  seperti labi-labi, kura-kura, kanak-kanak dan undang-undang ialah contoh kata ganda semu. Bagi beliau, kata ganda semu ialah kata yang tidak membawa apa-apa makna atau membawa makna lain jika kata dasarnya tidak digandakan. Misalnya, labi tidak mendukung apa-apa makna tetapi labi-labi ialah seekor binatang. Menurutnya lagi, kata ganda semu perlu dikekalkan bentuk gandaannya walaupun digandingkan dengan kata bilangan. Tafsiran beliau tentang pembentukan kata ganda semu dilihat tidak jauh berbea dengan naskhah Tatabahasa Asas.

Dari sudut yang lain, ada pandangan yang mengatakan bahawa bentuk kata ganda seperti rama-rama, terkial-kial, sia-sia dan kadang-kadang merupakan hasil daripada proses penggandaan semu. Menurutnya, kata ganda semu ialah bentuk kata yang terhasil melalui penggandaan seluruh kata dasar, iaitu akar kata. Hal ini bermakna, akar kata merupakan kata dasar dalam proses penggandaan. Pandangan ini dianggap agak lemah kerana beberapa sebab. Pertama, Tatabahasa Dewan tidak menyenaraikan akar kata sebagai kata dasar dalam proses penggandaan. Akar kata hanya menjadi kata dasar dalam proses pengimbuhan. Kedua, perkataan rama-rama, sia-sia dan kadang-kadang tidaklah wujud bersumberkan kata dasar rama, sia dan kadang. Hal ini dapat diteliti dalam Kamus Dewan Perdana yang menyenaraikan rama-rama, sia-sia dan kadang-kadang sebagai entri utama dan bukanlah subentri daripada rama, sia dan kadang.

Secara umum, kata ganda semu tidaklah begitu asing dalam kalangan guru khususnya guru opsyen Bahasa Melayu. Pada peringkat sekolah rendah dan menengah, perbincangan secara ilmiah tentang kata ganda semu hampir tidak berlaku. Hal ini disebabkan kata ganda ini tidak dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Namun begitu, pada peringkat prauniversiti dan IPG umpamanya, persoalan tentang bentuk kata ganda semu mungkin akan kedengaran disebabkan cara berfikir pelajar lebih bersifat kritis atas faktor usia, kematangan, minat dan rasa ingin tahu tentang bahasa serta kandungan kursus yang fokus dalam bidang bahasa Melayu. Malahan, pembelajaran tentang ilmu bahasa itu sendiri menggalakkan mereka agar mempunyai cara berfikir sebegitu. Oleh hal yang demikian, perbincangan tentang kata ganda semu akan berterusan dan landasan yang diharapkan ialah fakta-fakta bahasa serta rujukan sumber yang autentik sifatnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi