Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTuaran – Dalam usaha memperkukuh penguasaan serta menyemai minat, kreativiti dan kefahaman terhadap tulisan Jawi dalam kalangan murid sekolah rendah, program Onsoi, Kamus (Jawi) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Termunong telah diadakan di Dewan Datuk Seri Panglima Hajiji, hari ini.
Program ini menampilkan empat segmen interaktif yang dirangka khusus bagi meningkatkan minat dan pemahaman murid terhadap tulisan Jawi.
Segmen pertama merupakan Teka Silang Kata dalam bahasa Jawi, diikuti dengan segmen “Eja Kata” (pancing huruf) yang memberikan cabaran kepada murid untuk memancing huruf Jawi dalam masa dua minit dan seterusnya membina perkataan daripada huruf yang berjaya dikumpul.

Segmen ketiga pula mengetengahkan aktiviti “Cari Kata” dalam Kamus Dewan Perdana, iaitu pelajar diberikan perkataan rawak dalam tulisan Jawi dan diminta mencari maksudnya menggunakan Kamus Dewan Perdana tersebut.
Sementara itu, segmen terakhir merupakan perkongsian ilmu berkaitan dengan tulisan Jawi yang disampaikan oleh Perancang Bahasa dari DBP Cawangan Sabah, Encik Asrar bin Ab Latif.
Selain aktiviti anjuran DBP, pihak sekolah turut mengadakan pameran yang melibatkan Panitia Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Panitia Muzik dan Seni Visual serta Unit Prasekolah SK Termunong. Yang menariknya, acara penutupan karnival ini turut diserikan dengan penyertaan khas daripada pihak Tabung Haji yang mengadakan pameran interaktif kepada pengunjung.
Program ini bukan sahaja menjadi platform pendidikan yang bermanfaat, malah memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dengan agensi bahasa dalam usaha memperkasakan warisan tulisan Jawi pada peringkat akar umbi.