Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja (1), Kelantan dinobatkan sebagai juara dalam Forum Remaja MADANI Peringkat Kebangsaan (FRMK) 2025 dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5000.00.
Dengan mengupas secara kritis bagi soalan spontan yang diajukan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sasterawan Negara Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, iaitu “Bagaimanakah Malaysia MADANI Memartabatkan Media Sosial untuk Mempromosikan Dasar Melayu secara Kreatif”, pasukan dari Kelantan ini berjaya merangkul kejuaraan sekali gus menewaskan 15 pasukan forum yang lain.
Kemenangan ini membolehkan pasukan Kelantan yang diwakili Damya Syafieqa Abdul Hadi, Nowa Batrisya Jimmy, Syarifah Syazwani Syed Abdul Hamid, Muhammad Aqid Amzar Mohd Zairul Faiz dan Muhammad Sidqi Nazif Samsudin membawa pulang hadiah wang tunai RM5000.00, buku terbitan DBP, sijil penghargaan dan piala pusingan yang ditaja oleh Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat.

Pasukan dari Wilayah Persekutuan Labuan yang dibarisi oleh Hamzey Mikael Hasmi, Sheannyqa Eva Tunis, Zulaikha Faridzuan Teo dan Muhammad Yusuf Aminuddin telah mucul naib juara dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3000.00 serta hadiah iringan berupa buku terbitan DBP dan sijil penghargaan.
Tempat ketiga dimenangi oleh SMK Gadong Beaufort dari Sabah dengan membawa pulang RM2000.00, diikuti SMK Tun Syed Zaharuddin dari Melaka di tempat keempat dengan membawa pulang hadiah RM1500.00, dan SMK ST Luke Sri Aman, Sarawak menduduki tempat kelima dengan hadiah wang tunai RM1000.00.
Majlis Perasmian Penutupan FRMK 2025 dan penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Ketua Pengarah DBP; YBrs, Dr. Hazami bin Jahari, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Barat; YBrs, Tuan Haji Juhari bin Mohmad Nor, Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP; YBrs. Tuan Haji Johari Hassan, Pengarah-pengarah Jabatan, Ketua-ketua Bahagian, guru-guru serta pelajar.