Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat negeri itu agar tampil sebagai pelopor dalam usaha menghidupkan semula roh dan penggunaan tulisan Jawi.

Menurut baginda, usaha pemeliharaan tulisan Jawi bukan sekadar amanah sekolah atau institusi agama semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat.

Titah baginda lagi, tulisan Jawi bukan sekadar menjadi khazanah usang yang hanya terperap di muzium, sebaliknya perlu terus hidup sebagai nadi kehidupan, dari desa terpencil hingga ke kota raya, daripada urusan pentadbiran hingga ke hamparan maya tanpa batas.

“Tulisan Jawi merupakan nadi dan wajah sebenar identiti bangsa Melayu, andainya pupus daripada kehidupan kita, maka seakan-akan hilanglah sebahagian daripada roh dan jiwa bangsa ini,” titah baginda dalam Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Antarabangsa Jawi dan Warisan Melayu (INJAH 2025) di Hotel Grand Darul Makmur petang ini.

Baginda menegaskan bahawa penganjuran konvensyen berkenaan bukan sahaja menjadi medan perbincangan ilmiah, bahkan suatu ikhtiar yang menyatukan hati dan fikiran dalam memelihara khazanah agung bangsa, khususnya tulisan Jawi.

Tulisan Jawi merupakan warisan rohani dan intelektual umat Melayu.

Melalui tulisan Jawi, tamadun kita merakamkan sejarah, mengungkapkan ilmu agama, mengatur undang-undang dan menyampaikan karya sastera yang mempesona.

Baginda turut menyuarakan kebimbangan terhadap masa hadapan tulisan Jawi, memandangkan akhbar Melayu bertulisan Jawi yang suatu ketika dahulu popular, kini sudah tidak lagi kelihatan dalam arus perdana.

Dalam arus kemodenan, tulisan Jawi berhadapan dengan cabaran besar apabila kurangnya penggunaannya dalam kehidupan seharian, terpinggir dalam komunikasi rasmi dan semakin jauh daripada generasi muda.

Sehubungan dengan itu, baginda menyarankan beberapa langkah bagi memperkasakan tulisan Jawi di negeri tersebut seperti penyeragaman penulisan tulisan Jawi oleh pihak berkuasa tempatan di premis perniagaan dan tempat pelancongan serta melahirkan lebih ramai pakar Jawi menerusi kursus intensif secara konsisten.

Selain itu, baginda turut bertitah tentang langkah lain yang boleh diambil dengan memanfaatkan teknologi digital melalui aplikasi dan platform media sosial berasaskan tulisan Jawi serta meningkatkan penyelidikan berkaitan dengan manuskrip Melayu  tulisan Jawi.

Walau bagaimanapun, baginda menzahirkan rasa bangga apabila melihat papan tanda premis perniagaan serta iklan di seluruh daerah negeri Pahang mempunyai tulisan Jawi.

Dalam pada itu, baginda juga menzahirkan bahawa Majlis Kesultanan Pahang akan berusaha untuk menukar corak pakaian dalam istiadat dan upacara di istana dengan pemakaian tanjak dan baju Melayu yang sesuai.

“Kita semua bangsa Melayu harus menegakkan pakaian baju Melayu. Tidak salah memakai jubah, tetapi jangan lupa memakai baju Melayu,” titahnya.

Dalam majlis yang sama, baginda turut berkenan merasmikan Institut Jawi UnIPSAS dan buku Mahir Jawi Panduan Komprehensif untuk Semua Peringkat, di samping mengurniakan Sijil Munsyi Dewan (Jawi) Negeri Pahang kepada 40 orang penerima.

Sementara itu, INJAH 2025 dengan tema “Jawi Dimartabat, Warisan Diangkat” berlangsung selama dua hari, bermula 18 hingga 19 Ogos 2025, melibatkan lebih 200 orang peserta dan sembilan pembentangan kertas kerja.

Yang turut berangkat sama dalam majlis tersebut termasuklah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan diiringi oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi tetamu kenamaan ketika melawat reruai Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi