Diterbitkan pada 25 September 2025, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Bahasa Melayu berdepan dengan cabaran besar dalam mengekalkan kedudukannya sebagai bahasa ilmu dan identiti nasional, meskipun telah termaktub sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), YBrs. Dr. Ainol Amriz Ismail, dalam ucap utama Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, semalam.

Menurut beliau, cabaran pertama yang paling ketara ialah dominasi bahasa Inggeris dalam bidang teknologi, perniagaan dan pendidikan tinggi.

Ujar beliau,

Anak muda kini lebih selesa menulis tesis, kod komputer dan laporan kerja dalam bahasa Inggeris. Jika trend ini berterusan, bahasa kebangsaan akan dipinggirkan daripada bidang strategik.

Cabaran kedua, jelas Dr. Ainol datang daripada fenomena bahasa rojak di media sosial yang kini menjadi norma komunikasi harian.

Ungkapan campuran Melayu-Inggeris bukan sahaja meresap dalam budaya anak muda, malah turut mempengaruhi wartawan muda. Jika dibiarkan, mutu bahasa baku akan terus merosot.

Beliau menambah, orientasi komersial media yang menekankan keuntungan berbanding dengan mutu bahasa turut menyumbang kepada persepsi bahawa bahasa Melayu hanyalah bahasa “murahan”.

Dalam ucapannya, Dr. Ainol menekankan bahawa cabaran terbesar bukan sekadar soal undang-undang, tetapi realiti penggunaan masyarakat.

Tegas beliau,

Secara rasmi, kedudukan bahasa Melayu tidak pernah dipersoalkan. Namun begitu, dari sudut penggunaan, kita melihat jurang yang ketara antara status bahasa dalam Perlembagaan dengan amalan seharian. Peruntukan undang-undang tanpa penghayatan sosial hanya akan melahirkan simbolisme, bukan keberkesanan.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan bahan ilmu tinggi berbahasa Melayu pada era digital. Banyak rujukan akademik, jurnal antarabangsa dan laporan saintifik diterbitkan hanya dalam bahasa Inggeris. Hal ini sekali gus mengekang perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Bahasa Melayu mampu mengungkapkan pemikiran kritis, menghuraikan teori dan menjelaskan sains moden, tetapi bahasa ini memerlukan keyakinan, dasar yang kukuh dan sokongan media untuk kembali subur di menara gading,” katanya.

Dr. Ainol menekankan bahawa penguasaan bahasa Inggeris sememangnya penting dalam dunia ilmu dan perniagaan, namun menolak bahasa Melayu sebagai bahasa akademik adalah kehilangan arah. Beliau menyifatkan bahawa bahasa kebangsaan bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya institusi sosial yang membentuk identiti dan makna kewarganegaraan.

“Bahasa ialah asas solidariti. Kehilangan penghayatan terhadap bahasa bermakna kehilangan satu daripada asas penyatuan sosial yang telah diinstitusikan sejak merdeka,” katanya lagi.

Dalam konteks globalisasi, cabaran semakin kompleks apabila generasi muda hidup dalam dunia tanpa sempadan yang dipenuhi pengaruh bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Di institusi pengajian tinggi (IPT), mahasiswa lebih cenderung menggunakan sumber dalam bahasa asing yang sedikit demi sedikit melemahkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik berprestij.

Menurut beliau,

Generasi muda kini lebih kosmopolitan. Mereka mahu menjadi sebahagian daripada arus global, tetapi pada masa yang sama memikul tanggungjawab terhadap warisan nasional.

Mengulas tentang peranan media, Dr. Ainol menegaskan bahawa media arus perdana dan digital perlu kembali menjadi penjaga standard bahasa.

“Media bukan sahaja memaparkan kandungan, tetapi membentuk norma bahasa. Jika media tunduk terhadap logik pasaran semata-mata, bahasa kebangsaan akan menjadi longgar dan tidak bermartabat,” katanya sambil menyeru agar editor dan pengamal media menegakkan disiplin bahasa yang betul dalam laporan dan siaran.

Beliau turut mengemukakan beberapa strategi pemerkasaan termasuklah memperbanyak kandungan berkualiti dalam bahasa Melayu di ruang digital seperti podcast pendidikan, dokumentari sains dan laporan ekonomi.

Beliau berkata,

Generasi muda mahukan kandungan segar. Bahasa Melayu mesti dipersembahkan sebagai bahasa moden yang mampu menjadi medium pilihan.

Kerjasama serantau Nusantara juga perlu diperkukuh, dengan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura digesa menghasilkan drama, filem dan berita berbahasa Melayu untuk pasaran serantau yang mencecah lebih 300 juta penutur.

Selain itu, beliau menekankan keperluan memodenkan istilah dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan, teknologi hijau dan ekonomi digital agar bahasa Melayu tidak ketinggalan. “Jika istilah dibiarkan kosong, bahasa Inggeris akan menguasainya,” ujarnya.

Mengakhiri ucap utamanya, Dr. Ainol menyeru agar semua pihak termasuklah kerajaan, institusi pendidikan, media hingga masyarakat perlu berganding bahu demi memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Pemartabatan bahasa Melayu bukanlah tugas kerajaan semata-mata. Mahasiswa mesti berani menggunakan bahasa Melayu dalam forum dan penulisan akademik, IPT perlu membudayakan seminar dan penerbitan dalam bahasa kebangsaan, manakala media mesti menjadi pendidik, bukan sekadar penyampai,” katanya penuh tegas.

Beliau mengingatkan bahawa masa hadapan bahasa Melayu pada dekad mendatang akan terus diuji, namun teknologi digital juga menawarkan peluang baharu.

“Dengan kecerdasan buatan dan platform digital, kandungan berbahasa Melayu boleh menembusi sempadan global. Bayangkan kuliah sains dalam bahasa Melayu yang ditonton di seluruh dunia dengan sari kata pelbagai bahasa. Itu bukan angan-angan, tetapi potensi yang menunggu untuk direalisasikan,” katanya.

Sidang meja bulat yang dikendalikan oleh moderator, YBrs. Dr. Zulkifli Hussain ini turut dihadiri oleh tokoh akademik dan pengamal media terkemuka. Antara yang hadir termasuklah tokoh akademik dan pakar bahasa Melayu, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim; Ketua Pusat Sumber Kementerian Komunikasi, YBrs. Puan Nor Syafinaz Samsudin; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar serta advokator kandungan, YBrs. Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi