Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Sebagai sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) sentiasa membuka peluang dan ruang yang luas kepada ahli akademik, penyelidik dan pencinta bahasa untuk berkongsi ilmu, buah fikiran dan hasil penyelidikan bagi manfaat bersama demi menyemarakkan lagi kecintaan terhadap bahasa,” ujar Penasihat I PLM dan Tokoh Ilmuwan Bahasa Melayu, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Haji Abdul Karim dalam Majlis Wacana Ilmu PLM di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi tadi.

YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Haji Abdul Karim selaku Penasihat I PLM ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis Wacana PLM pada pagi tadi.

Majlis anjuran PLM dengan kerjasama DBP tersebut diadakan bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan PLM ke-46 yang telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M. Azahari bin Edin, wakil rasmi Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari.

Menurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Haji Abdul Karim lagi, Mesyuarat Agung Tahunan dan Wacana Ilmu PLM tersebut diadakan sebagai usaha ke arah menyebarluaskan perkembangan bahasa Melayu agar tetap utuh sebagai bahasa ilmu di negara ini di samping mengeratkan hubungan bukan sahaja dalam kalangan ahli akademik, malah kakitangan institusi awam yang berkaitan dengannya.

YBrs. Encik M. Azahari bin Edin yang mewakili Ketua Pengarah DBP ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Sementara itu, menurut Encik M. Azahari bin Edin selaku wakil Ketua Pengarah DBP, DBP sentiasa menyokong pelibatan pelbagai pertubuhan dan agensi yang sama-sama mendaulatkan bahasa Melayu, sekali gus meraikan inisiatif pelbagai pihak yang mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bahagi agar terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang kita cintai.

PLM merupakan pertubuhan yang sentiasa giat berusaha untuk menggalakkan kajian terhadap bidang bahasa Melayu bagi merungkaikan pelbagai masalah bahasa di negara ini, sekali gus mengeratkan hubungan antara pengkaji bahasa dengan peminat bahasa.

Sehubungan dengan itu, PLM juga banyak menyusun pelbagai aktiviti yang merangkumi bidang penerbitan, pertemuan ilmiah melalui seminar, persidangan, forum, ceramah, dan syarahan yang menjadi tunjang yang signifikan kepada inisiatif penyelidikan, perundingan serta kursus akademik dan profesional.

Dalam ucapan sambutan oleh Presiden PLM, YBrs. Prof. Dr. Hashimah binti Jalaluddin, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada DBP kerana sentiasa membantu PLM yang giat melaksanakan pelbagai aktiviti kebahasaan termasuklah seminar.

Ujar beliau,

Kami sentiasa membantu dan menyokong aktiviti kebahasaan terutamanya yang dilakukan oleh DBP dan saya sangat berterima kasih kepada DBP kerana selalu membantu PLM terutama dalam menjayakan seminar.

Presiden PLM, YBrs. Prof. Dr. Hashimah binti Jaluddin ketika menyampaikan ucapan sambutan pagi tadi.

Menurut Prof. Dr. Hashimah binti Jalaluddin lagi, oleh sebab rancaknya PLM dengan aktiviti kebahasaan, PLM telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Universiti teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini sebagai Adiwangsa Bahasa Melayu.

Yang hebatnya, anugerah ini telah diserahkan kepada Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah binti Haji Abdul Karim selaku Penasihat PLM I, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan selaku Penasihat PLM II dan saya (Prof. Dr. Hashimah binti Jalaluddin).

Selain itu, siri Wacana Ilmu PLM yang diadakan pada hari ini telah menampilkan tokoh akademik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), iaitu Prof. Madya Dr. Norliza binti Jamaluddin dengan wacana bertajuk, “Mekarnya Bahasa Melayu di Bumi Sakura: Kisah yang Terpendam”.

Antara peserta dari UPSI yang terlibat dalam majlis Wacana Ilmu PLM pada pagi tadi.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Puan Noraini binti Abd. Shukor; Ketua Editor dan Ketua Bahagian DBP, para pensyarah dan para pelajar dari UPSI, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan universiti lain serta ahli PLM.

Kredit Foto: ZAIDAH ZAKARIA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi