Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Baru Bangi – Adik Hanif bin Hasif, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Piala Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI) di Dewan Nik Mohd. Mohyideen Musa, hari ini.
Pertandingan anjuran Jabatan Pengajian Melayu (JPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini bertujuan menyerlahkan bakat dan keupayaan murid sekolah rendah dalam berpidato menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

Dalam ucapan alu-aluan Ketua Jabatan JPM, YBrs. Dr. Siti Hajar binti Idrus menzahirkan rasa gembira kerana pertandingan ini menyaksikan kemampuan peserta dalam membentuk keyakinan diri untuk berhadapan dengan situasi khalayak yang ramai.
Ujar beliau,
Seorang pemidato yang hebat bukan hanya petah berkata-kata, tetapi seorang yang berfikir secara mendalam, bertindak secara berani dan berkomunikasi secara berkesan.

Menurut Pengarah IPGKPI, YBrs. Dr. Khairuddin bin Said dalam ucapan perasmian penutup, program ini merupakan sebahagian daripada usaha institusi tersebut selaras dengan kerjasama strategik DBP dan visi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membentuk karakter manusiawi dalam kalangan generasi muda di Malaysia. Hal ini bukan sekadar pertandingan, tetapi pentas gergasi yang disediakan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai medium ilmu, perpaduan dan wahana pembangunan jati diri rakyat Malaysia.
Sementara itu, bagi Encik Rashid bin Othman yang merupakan guru pembimbing bakat pidato SK Setiawangsa sejak tahun 2024 menyifatkan pertandingan anjuran IPGKPI yang mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan ini wajar diadakan pada setiap tahun kerana pertandingan seumpama ini menyediakan peluang kepada murid sekolah rendah untuk menyerlahkan bakat berhujah secara lisan dan spontan selain daripada pertandingan peringkat daerah dan negeri yang dianjurkan oleh pihak KPM.
Pemenang naib johan telah dirangkul oleh adik Aisha Hana binti Ahmad Ridzuan dari SK Tunku Azizah, Kuantan, Pahang; tempat ketiga telah dimenangi oleh adik Nur Azra Ilana binti Mohd Azrul dari SK Pandan Indah, Hulu Langat, Selangor; tempat keempat telah dimenangi oleh adik Anis Sumayyah binti Zulmajdil Hafiz dari SK Olak Lempit, Kuala Langat, Selangor dan tempat kelima menjadi milik adik Muhammad Khalish Firas bin Khairulzamri dari SK Binjai Jaya, Sabak Bernam, Selangor.

Sementara itu, YBrs. Dr. Fazilah binti Mat Zain selaku penyelaras pertandingan turut menyatakan bahawa aktiviti ini sangat bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat terutamanya bagi memberikan peluang dan melatih siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Tahun Satu mengendalikan program secara bertanggungjawab dan sistematik.