Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Bertempat di Menara Z10, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd. (Bioeconomy Corporation) telah berlangsungnya program Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Tahun 2025 dengan pengisian pelbagai program yang menyemarakkan semangat cintakan bahasa dan sastera kebangsaan.
Program yang berlangsung sejak semalam itu merupakan anjuran pihak Knowledge Centre, Bioeconomy Corporation dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertujuan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan pegawai dan kakitangan di Bioeconomy Corporation dalam bidang kebahasaan dan persuratan.

Program ini telah turut mengundang Personaliti Televisyen dan Ikon Bahasa, Encik Ahmad Fedtri Yahya yang menjayakan slot perkongsian ilmu berkaitan dengan profesionalisme dan kesantunan bahasa menerusi tajuk ceramah beliau “Jangan Rencong Panji Bahasa”.
Melalui perkongsian beliau, para peserta program didedahkan tentang kelemahan-kelemahan yang lazim berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini yang kurang cakna dalam penggunaan bahasa Melayu serta amat perlu meningkatkan ilmu berkaitan kesantunan berbahasa. Menurut Encik Ahmad Fedtri lagi, setiap individu haruslah memahami tanggungjawab terhadap pemerkasaan bahasa kebangsaan apatah lagi institusi seperti Bioeconomy Corporation.
Sebagai organisasi yang berteraskan bidang sains dan teknologi, Encik Ahmad Fedtri memuji usaha yang telah dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation dalam memberikan sokongan serta ruang untuk para pegawai dan kakitangan meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu melalui program yang dilaksanakan pada hari ini.
Selain berkongsi tentang bahasa, Encik Ahmad Fedtri juga berkongsi berkaitan dengan isu kecaknaan semua pihak terhadap citra budaya bangsa yang perlu dipertahankan agar tidak lenyap ditelan oleh arus permodenan.
Para peserta seramai 40 orang kemudiannya menyertai Program Riuh Bahasa yang dilaksanakan oleh Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP. Program ini telah meningkatkan pengetahuan peserta menerusi elemen didik hibur berteraskan permainan warisan seperti permainan batu seremban, tampi kekacang, timbang bulu ayam, piramid cawan simbolik pembudayaan hijau, dan teka simpulan bahasa bergambar.
Tugasan ini diterjemahkan dengan penggunaan prpm.dbp.gov.my, enjin pencarian bahasa Melayu DBP, dengan setiap peserta dikehendaki melengkapkan pantun, bijak eja, mencari istilah sains, pembudayaan Jawi, mencipta puisi dan seterusnya mendeklamasikan puisi bagi menyempurnakan keseluruhan tugasan yang telah ditetapkan.

Majlis penutupan Program Riuh Bahasa ini telah disempurnakan oleh Encik Fadzrin Azwar, Naib Presiden Kanan, Bahagian Usahasama Strategik, Bioeconomy Corporation. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian DBP bekerjasama dengan Bioeconomy Corporation dalam melaksanakan program ini dan berharap program-program seterusnya akan boleh dirancang dan dilaksanakan dengan DBP untuk mempertingkatkan kualiti bahasa Melayu dalam kalangan pegawai dan kakitangan agensi ini.
Seiring dengan matlamat ini, pihak Bioeconomy Corporation merancang untuk memperluas pelaksanaan program kepada kementerian, agensi kerajaan, universiti dan sekolah. Usaha ini selaras dengan komitmen Bioeconomy Corporation yang sering mengadakan program jelajah kerjaya di universiti-universiti. Menerusi program-program yang akan datang sudah tentu pegawai dan kakitangan agensi ini telah bersedia dan dapat memartabatkan serta memperkasa penggunaan bahasa Melayu, khususnya mengetahui terma-terma dalam bidang sains.
Encik Fadzrin juga melihat peluang untuk kedua-dua pihak berkerjasama dalam menghasilkan ensiklopedia berbahasa Melayu dalam bidang bioteknologi dan sains hayat, menterjemah dan mengenalpasti istilah teknikal dalam bahasa Melayu dan mempergiatkan promosi agar istilah dan bahan rujukan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat umum supaya lebih meluas.
Beliau amat berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan demi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kebangsaan, serta dapat memenuhi antara salah satu teras MADANI iaitu Daya Cipta yang boleh diperluaskan dalam bidang bioteknologi.
Menurut Puan Faizah Pakhrurazi, Ketua Unit Knowlege Centre Bioeconomy Corporation, program yang dilaksanakan ini merupakan inisiatif yang julung-julung kali diadakan melalui kolaborasi bersama DBP kepada pegawai dan staf agensi ini. Program ini bertujuan memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi rasmi, dalam urusan kerja seharian. Di samping itu, program ini juga diharap dapat meningkatkan apresiasi terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul serta memupuk budaya penyampaian maklumat yang lebih berkesan dan berhemah dalam kalangan warga Bioeconomy Corporation.
Dalam program yang dilaksanakan ini, pegawai dan kakitangan Bioeconomy Corporation iaitu Puan Kalsum Ahmad, Puan Siti Sauziahti Mohamed Saufi, Puan Nurul Afiqah Abdul Ghani Ganesan dan Puan Ruzleen Fazida Rusley yang menamakan kumpulan mereka sebagai Kumpulan Melur telah menyandang juara program dengan membawa pulang hadiah berupa E-Wallet oleh Bioeconomy Corporation, sumbangan buku DBP dan hadiah iringan.
Para peserta juga menerima kejutan, apabila Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Encik Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak turut dapat meluangkan masa seketika bagi menyaksikan sendiri keterujaan para peserta yang sedang melaksanakan tugasan yang diberikan dalam program ini.
Turut hadir meraikan Majlis Penutupan Program Riuh Bahasa Bioekonomi Tahun 2025 ini ialah Timbalan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Huznah binti Sa’it, dan Personaliti TV Al-Hijrah, Encik Jalaluddin Mohd. Zaiki.
Sebagai makluman, Bioeconomy Corporation merupakan agensi pembangunan ekonomi utama bagi industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 2005, Bioeconomy Corporation berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan merupakan syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Bioeconomy Corporation memberi sokongan, kemudahan dan khidmat nasihat dalam bidang perniagaan, pelaburan, penyelidikan dan pembangunan, pembangunan modal insan, infrastruktur kewangan, rangka kerja undang-undang dan pengawalseliaan, pembangunan strategik, dan sokongan kerajaan. Melalui perkhidmatan ini, Bioeconomy Corporation membangunkan komuniti perniagaan, akademik, dan saintifik yang memacu industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia.