Diterbitkan pada 15 April 2026, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – “Peradaban bangsa akan luntur jika bahasanya hilang santun, hilang kosa kata intelek dan kedaulatannya dalam ruang siber. Dunia hari ini sedang menyaksikan peralihan besar, iaitu daripada interaksi fizikal kepada interaksi digital yang tiada sempadannya.”

Demikian, penegasan YB Datuk Dr. Maijol Mahap, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dalam ucap utamanya bersempena dengan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-12 di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), pagi tadi.

Menurut beliau, terdapat tiga perkara utama yang perlu ditekuni dalam mendepani era digital kini, iaitu bahasa sebagai medium data (big data) yang menuntut pengguna bahasa memuatkan korpus bahasa Melayu yang berkualiti ke dalam dunia digital jika tidak mahu ketinggalan. Bahasa Melayu perlu “hidup” dalam enjin carian, sistem pesanan ringkas dan aplikasi pintar agar peradaban bahasa ini tidak sirna dan tenggelam dalam dominasi bahasa asing.

Selain itu, kelahiran slanga dan singkatan di media sosial yang ada kalanya menggugat hukum tatabahasa tidak wajar jika hanya sekadar bertindak dengan menghukum. Sebaliknya ahli bahasa perlu mencari jalan agar estetika bahasa asal dapat dipertahankan tanpa sekatan kreativiti generasi digital native. Bahasa Melayu seharusnya bersifat dinamik, namun tetap berakar dengan adab dan kesantunannya.

YB Datuk Dr. Maijol Mahap, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah ketika menyampaikan ucap utamanya bersempena dengan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-12 di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Digitalisasi sebagai khazanah bahasa pada era digital dilihat membuka peluang keemasan untuk pendokumentasian dialek tempatan dan sastera lama dalam bentuk digital. Melalui kecanggihan teknologi, pantun, syair dan naskhah klasik dapat diakses oleh generasi muda hanya di hujung jari.

Tambah beliau lagi, transformasi digital menuntut masyarakat pengguna bahasa menjadi lebih proaktif bukan sekadar sebagai pengguna, sebaliknya menjadi pencipta kandungan yang bermutu tinggi dalam bahasa ibunda sendiri.

Teknologi hanyalah alat, namun bahasalah yang memberikan jiwa kepada maklumat. Tanpa bahasa yang tinggi budinya, teknologi hanya akan melahirkan masyarakat yang bijak akalnya, namun berjiwa kosong.

Sungguhpun demikian, YB Datuk Dr. Maijol Mahap turut menyarankan agar masyarakat berwaspada terhadap gelombang modenisasi dan kecerdasan buatan. Ujar beliau,

Golongan bijak pandai berpesan bahawa bahasa merupakan pakaian pemikiran; jika koyak bahasanya, maka compang-campinglah peradabannya. Kita tidak mahu melihat bahasa Melayu hanya indah pada kertas puisi, tetapi kaku dalam wacana sains dan teknologi. Pembudayaan bahasa seharusnya bersifat dinamik dan menyerap kemajuan tanpa menggadaikan nilai murni yang dikandungnya.

Melalui penelitian linguistik dan pembentangan yang berlangsung dalam tempoh dua hari mulai hari ini, beliau menyeru para penyelidik dan pencinta bahasa agar memperkukuh pendokumentasian dialek dan variasi bahasa Melayu dapat dirakam sebagai khazanah peradaban; kesantunan dilestarikan melalui pembudayaan semula adab dalam berbahasa kerana hal ini merupakan inti pati peradaban Melayu; dan menginovasikan bahasa dengan menjadikan bahasa Melayu dinamik bagi mendepani istilah sains dan teknologi tanpa kehilangan roh asalnya.

Sebelum mengakhiri ucap utama tersebut, beliau menekankan tentang kepentingan bahasa terhadap peradaban bangsa dan  kelestarian bahasa Melayu menjadi warisan bagi generasi akan datang.

Bahasa melambangkan bangsa. Bahasa yang runtuh akan mengakibatkan keruntuhan peradaban sesuatu bangsa. Semoga seminar ini dapat menjadi pelan tindakan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dihormati di persada antarabangsa serta menyumbang kepada kelestarian peradaban untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Membangunkan bangsa tanpa memartabatkan bahasanya ibarat membina istana di atas pasir; gah pada zahirnya, namun rapuh pada jiwanya.

Kredit Foto: Mohamad Firdauz Abdul Radzak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi