Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Jalil – “Ada peraturan tertentu dan menjadi lumrah apabila tidak semuanya dipatuhi. Dengan peredaran zaman dan teknologi yang semakin canggih, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan. Walaupunhal tersebut terpaksa dilakukan kerana syarat kerja, tetapi sikap positif perlu diutamakan dengan tidak menolak bahasa Melayu,” ujar YBhg. Sasterawan Negara (SN) ke-13, Datuk Dr. Zurinah Hassan.
Beliau berkata demikian sewaktu menjadi panel pertama Sesi 1 Wacana Ilmu Sasterawan Negara dan Penggiat Bahasa yang membawa tajuk “Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Pekerjaan Mutakhir Ini” di Pentas Utama Karnival Hari Pekerja 2026 di sini, semalam.
Beliau tampil bersama-sama Encik Tan Chai Long, seorang penceramah dan penulis buku bahasa Melayu sebagai ahli panel kedua yang menjayakan wacana yang dikemudi oleh Munsyi Muda Bahasa KESUMA, Encik Awang Abdul Muizz Awang Marusin.
Sambil memuji kelebihan yang dimiliki oleh Encik Tan Chai Long, beliau turut mengagumi pempengaruh yang suka bercakap dalam bahasa Melayu, yang ada kalanya menggunakan bahasa berima untuk seni yang indah.
“Saya suka gaya Mas Zhiddin Zhiddan Aziz, iaitu anak Allahyarham Aziz Desa. Bahasa Melayu yang digunakannya semasa bertutur sangat menarik,” jelas YBhg. SN Datuk Dr. Zurinah Hassan yang turut menekankan bahawa kita tidak perlu terlalu mengikut skema jika mahu tampil berbahasa rima.
Tambah beliau, sekiranya mahu menghasilkan bunyi rima yang sama, terdapat penambahan yang tidak perlu dipakai, misalnya akhiran “-an” dan “-i”. Menurut beliau, hal tersebut merupakan suatu “pengorbanan” yang tidak merosakkan bahasa.
Terdahulu YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan memberikan penghargaan kepada YB Steven Sim Chee Keong, mantan Menteri Sumber Manusia yang memberikan kependekan nama Kementerian Sumber Manusia kepada KESUMA, sewaktu menyandang jawatan Menteri bagi kementerian tersebut.

“Saya sangat bersetuju dengan nama ringkas KESUMA itu kerana sesuai dan berjiwa. Terima kasih kepada YB Steven Sim,” ujar beliau yang merujuk maksud perkataan lama dalam bahasa Melayu tersebut, iaitu bunga, wanita cantik, elok, rupawan atau bangsawan selain turut digunakan sebagai bahasa kiasan.
Menariknya, akronim KESUMA itu turut dimasukkan ke dalam tema Karnival Mega Hari Pekerja 2026 yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei 2026, iaitu “Pekerja MADANI KESUMA Bangsa”.
Sementara itu, Encik Tan Chai Long atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Tan pula mengakui bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa teknologi dan lingua franca mutakhir ini. Jelasnya, bahasa Inggeris berakar umbi di negara kita kerana penjajahan Inggeris sejak sekian lama yang sehingga kini masih sukar dikikis.
Menurut beliau,
Walau bagaimanapun, anggapan atau pandangan stereotaip bahawa bahasa Inggeris lebih memudahkan urusan menyebabkan bahasa Melayu tertolak menjadi bahasa kedua di negara ini. Jati diri yang lemah juga menjadi faktor hal ini berlaku sedemikian.
Cikgu Tan turut memberikan contoh pengalaman beliau di stesen minyak apabila beliau ditanya oleh seorang lelaki warga tempatan dalam bahasa Inggeris, sedangkan sebelum itu bercakap dalam bahasa Melayu dengan pekerja Bangladesh.
“Akibat pengaruh drama dan filem Korea sejak beberapa tahun kebelakangan, banyak orang membuka kelas bahasa asing itu. Masalah ini berganda apabila “kempen” galakan penggunaan bahasa Melayu di negara kita hanya menerusi filem dan iklan bersempena dengan Bulan Kemerdekaan, 17 Julai hingga 16 September setiap tahun dan hal ini bersifat bermusim,” ujarnya kesal.
Beliau turut meluahkan kekecewaan apabila kebanyakan rakyat Malaysia hari ini tidak mengetahui maksud peribahasa “bagai aur dengan tebing”, meskipun peribahasa tersebut berfalsafah tinggi sebagai lambang bagi kehidupan yang harmoni dan saling membantu.
Selain kelas bahasa asing, jati diri lemah, kempen bahasa Melayu bermusim dan masyarakat tidak memahami peribahasa, Cikgu Tan turut kesal akan sikap kebanyakan rakyat Malaysia yang mengabaikan ejaan dan penggunaan bahasa Melayu yang betul.
Kamus memang penting dalam aspek mahu berbahasa yang baik. Terdapat negara luar yang mewajibkan penggunaan kamus di setiap rumah. Saya sendiri menggalakkan pelajar membawa kamus ke mana-mana.
Mereka hanya mementingkan sebutan, asalkan orang faham,” kata beliau yang turut mengulas soal penerbit filem dan drama Melayu yang suka menggunakan bahasa rojak, atau bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai judul.