Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Kewujudan Portal Kamus DBP memperlihatkan bahawa bahasa Melayu tidak terpisah daripada kemajuan teknologi, sebaliknya terus hadir, digunakan dan dimartabatkan dalam ekosistem digital agar kekal relevan sebagai bahasa ilmu, bahasa negara dan bahasa ekonomi.”

Demikian ucapan Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pelancaran Portal Kamus DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP pada pagi tadi.

Menurut YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim, inisiatif mewujudkan Portal Kamus DBP ini merupakan suatu usaha yang menyerlahkan komitmen DBP terhadap pendigitalan khazanah perkamusan dalam usaha pemartabatan bahasa Melayu. Hal ini selaras dengan landskap teknologi semasa serta agenda transformasi digital negara.
Tambah beliau,
Jika bahasa Melayu tidak diperkasa dalam ekosistem AI (kecerdasan buatan atau dikenali sebagai artificial intelligence) dari sekarang, kita berisiko berhadapan dengan pencemaran bahasa, kelemahan sintaksis dan kehilangan identiti bahasa dalam teknologi masa hadapan.
Pada era digital hari ini, masyarakat memerlukan akses terhadap maklumat yang cepat, tepat dan boleh dipercayai. Hal ini termasuklah dalam urusan penggunaan bahasa. Bahasa yang baik bukan sahaja bergantung pada pertuturan dan penulisan, tetapi juga kewujudan sumber rujukan yang sahih, mudah dicapai dan diyakini oleh pengguna.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pembangunan Portal Kamus DBP merupakan suatu langkah yang amat tepat kerana Portal Kamus DBP bukan sekadar memindahkan bahan rujukan bahasa ke ruang digital, tetapi juga memperluaskan rujukan masyarakat terhadap sumber bahasa Melayu yang berwibawa, lebih mudah dan tersusun.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh DBP, fasa pertama portal ini memuatkan lebih 120,000 data entri dan subentri daripada Kamus Dewan Perdana (KDP).
Kamus Dewan Perdana merupakan kamus paling mutakhir dan komprehensif yang lengkap dengan pelbagai kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun dengan maklumat tambahan seperti sebutan, ejaan Jawi, kelas kata dan etimologi.
Portal ini turut berfungsi sebagai pangkalan data dinamik yang mengintegrasikan data korpus bagi membolehkan pengemaskinian kosa kata baharu dilaksanakan secara berkala dan cekap dalam usaha untuk menjamin kelangsungan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang sentiasa relevan dengan peredaran zaman.
Hadir dengan antara muka yang mesra pengguna merentasi pelbagai peranti mudah alih, portal ini menjadi jambatan digital yang menghubungkan tradisi keilmuan DBP dengan kepantasan teknologi moden.
YBhg. Dato’ Wan Hashim turut menzahirkan harapan agar Portal Kamus DBP dapat digunakan secara meluas oleh pelbagai pihak.
“Jadikanlah portal ini sebagai sumber rujukan utama bagi penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan berwibawa.”
“Saya juga berharap agar warga DBP terus menjadi pendukung utama terhadap usaha ini dengan memperkenalkan, menggunakan, dan mempromosikan portal ini dalam ruang tugas masing-masing.”
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed; dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa bin Hamzah.