Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBP demi memartabatkan dan memperkasakan peranan bahasa Melayu dalam sektor awam.

Pemilihan MOTAC sebagai satu daripada kementerian yang diaudit pada tahun ini menepati sasaran yang ditetapkan oleh DBP bagi menilai sejauh manakah kementerian ini menggunakan dan mengutamakan bahasa Melayu dalam bahan promosinya bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dapat memupuk nilai hormat dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
DBP merakamkan penghargaan kepada MOTAC yang sudi menerima pelawaan untuk diaudit semula pada tahun ini setelah pengauditan kali pertama pada 6 Jun hingga 9 Jun 2015. MOTAC merupakan kementerian ketiga yang diaudit pada tahun ini yang dilaksanakan pada 18 Mei hingga 21 Mei 2026.

Pelaksanaan Audit Bahasa Melayu di MOTAC pada tahun ini membuka tirainya melalui Mesyuarat Pembukaan Audit Bahasa Melayu pada 18 Mei 2026 yang dipengerusikan olehSetiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC, Encik Wan Ashbi @ Wan Maheran Leman, manakala pembentangan laporan audit dalam Mesyuarat Penutupan Audit Bahasa Melayu telah berlangsung pada 21 Mei 2026. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil daripada setiap bahagian yang diaudit.
Audit dijalankan untuk menilai tahap penggunaan dan mutu bahasa Melayu dalam dokumen rasmi pentadbiran kerajaan. Penilaian melibatkan penggunaan bahasa dalam surat rasmi, e-mel, laporan, minit mesyuarat, teks ucapan, notis, paparan dan peragaan serta dokumen rasmi lain. Aspek ejaan, tanda baca, pemilihan kata dan binaan ayat turut dinilai bagi memastikan mutu bahasa Melayu yang digunakan menepati laras bahasa rasmi yang baik dan berkualiti.
Penilaian ini telah dilakukan oleh juruaudit, Encik Abdul Ghalib Yunus yang juga merupakan Munsyi Dewan (Bahasa). Urus setia yang terlibat dalam sesi pengauditan ialah Puan Roslida Mustapha, Encik Mohd Fauzan Mohd dan Puan Syasya Najibah Sallim.

Pelaksanaan Audit Bahasa Melayu di MOTAC pada tahun ini telah mencatatkan keputusan yang membanggakan apabila kementerian ini mencapai aras tertinggi dalam skala penilaian, iaitu Aras 5: Sangat Baik bagi kedua-dua aspek yang dinilai. Hasil dapatan pada tahun ini menunjukkan terdapat peningkatan peratusan bagi kedua-dua aspek yang dinilai. Sewaktu kali pertama MOTAC diaudit, tahap penggunaan bahasa Melayu berada pada Aras 4: Baik, manakala mutu bahasa Melayu pula berada pada Aras 5: Sangat Baik.
Pencapaian tersebut membuktikan komitmen pihak MOTAC untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam urusan rasmi pentadbiran, sekali gus memperlihatkan kesungguhan MOTAC dalam usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan selaras dengan peranannya sebagai bahasa rasmi. Penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi yang paling baik ialah dokumen laporan dan kertas cadangan serta dokumen edaran.
Dalam kerancakan MOTAC membantu menjayakan promosi program pelancongan bersempena dengan TMM 2026, MOTAC tetap tidak meminggirkan penggunaan bahasa Melayu dalam kempen yang dijalankan.
Berdasarkan penemuan audit, MOTAC mengutamakan bahasa Melayu dalam brosur, paparan dan peragaan serta dokumen edaran. Penggunaan bahasa Melayu dalam kempen yang dijalankan bersempena dengan TMM 2026 merupakan satu langkah yang positif untuk mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia.
Menurut YBrs. Encik Wan Ashbi @ Wan Maheran Leman dalam Mesyuarat Penutupan Audit Bahasa Melayu, pihak MOTAC menerima setiap teguran daripada DBP dan akan menambah baik mutu bahasa Melayu dalam urusan rasmi di MOTAC.
Beliau turut memberikan galakan kepada warga MOTAC untuk menyertai kursus bahasa Melayu yang dianjurkan oleh DBP demi menambah ilmu tatabahasa bahasa Melayu dan memantapkan penggunaannya dalam penulisan dokumen rasmi.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed yang mewakili DBP dalam Mesyuarat Penutupan Audit Bahasa Melayu tersebut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pihak MOTAC kerana menyambut baik hasrat DBP untuk diaudit pada tahun ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada MOTAC kerana telah berjaya memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam pelaksanaan audit susulan pada tahun ini.