Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Bengkel Strategik Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah dianjurkan bagi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu pada peringkat pendidikan tinggi.

Program yang berlangsung di Hotel Eastin, Pulau Pinang, semalam menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk membincangkan tentang isu, cabaran dan strategi pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu di IPT awam dan swasta.

YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Erfiy Ismail ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Dalam ucapan perasmian, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Erfiy Ismail dari Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi menegaskan tentang kepentingan memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di IPT.

Beliau berkata pemerkasaan bahasa Melayu perlu seiring dengan perkembangan Revolusi Industri dan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) agar terus relevan serta berdaya saing pada peringkat global.

Beliau turut berharap bengkel tersebut dapat menghasilkan cadangan strategik yang praktikal bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), teknologi digital dan pendidikan inklusif.

YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Azrul Azlen Abd Hamid semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Pensyarah Kuliyyah Pelancongan Lestari dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Azrul Azlen Abd Hamid menegaskan bahawa pemartabatan bahasa Melayu di IPT memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak termasuk pentadbir, pensyarah, penyelidik dan mahasiswa.

Beliau turut menekankan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja bahasa komunikasi, malah bahasa ilmu dan identiti nasional yang perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan pendidikan global dan teknologi semasa.

Selain itu, beliau menyeru agar IPT lebih proaktif memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam bidang akademik, penyelidikan dan penerbitan ilmiah.

Bengkel tersebut menampilkan beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus berkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu di IPT meliputi penggunaannya dalam bidang akademik, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kebolehpasaran graduan.

Peserta Bengkel Strategik Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung di Hotel Eastin, Pulau Pinang.

Perbincangan turut menyentuh cabaran bahan akademik, penulisan ilmiah serta penerbitan dalam bahasa Melayu. Selain itu, peserta membincangkan tentang cadangan strategik bagi memperkasakan teknologi digital dan AI dalam pembelajaran Bahasa Melayu, termasuk aspek pendidikan inklusif bagi golongan orang kurang upaya (OKU). Bengkel ini menjadi platform penting demi memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang relevan dan berdaya saing di IPT negara.

Prof. Madya Dr. Azean Idruwani Idrus merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Muar, Johor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi