Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aktiviti permainan Roda Kata secara digital anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya menjadi antara tarikan utama pengunjung, sekali gus berfungsi sebagai medium berkesan dalam memupuk minat masyarakat terhadap bahasa Melayu bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Permainan bahasa interaktif yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ini merupakan satu daripada komponen dalam program Sahabat Kata anjuran Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP. PBAKL 2026 yang berlangsung dari 29 Mei 2026 hingga 7 Jun 2026 ini membawakan tema “Malaysia Membaca, Merayakan Buku”.

Suasana di pentas utama Dewan Tun Hussein Onn yang menempatkan reruai DBP dimeriahkan dengan gelak tawa dan sorakan para peserta yang teruja untuk menguji tahap penguasaan bahasa mereka. Pendekatan digital dan interaktif permainan ini terbukti berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak, ibu bapa, pelajar, guru dan pencinta bahasa.

Menerusi putaran roda yang mengandungi pelbagai kategori, para peserta diberikan pilihan untuk menjawab soalan berdasarkan soalan yang dikemukakan dengan merujuk Kamus Dewan Perdana (2020), iaitu kamus terkini terbitan DBP termasuklah peribahasa, etimologi, makna kata, eja Jawi, label, kelas kata dan frasa.

Menurut urus setia yang juga petugas dari Bahagian Perkamusan, DBP, aktiviti Roda Kata diperkenalkan bagi mendekatkan masyarakat dengan khazanah bahasa Melayu melalui pendekatan santai dan menyeronokkan.

Kaedah didik hibur yang diterapkan membolehkan peserta belajar sambil bermain dengan merujuk kamus, sekali gus dapat meningkatkan pemahaman terhadap kosa kata yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Sebagai penghargaan, peserta yang berjaya memberikan jawapan yang tepat menerima cenderamata menarik berupa produk terbitan DBP.

Para pengunjung berkesempatan mengunjungi reruai DBP untuk membeli kamus terbitan DBP.

Penganjuran aktiviti ini nyata selaras dengan usaha DBP untuk memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat serta menyemarakkan budaya ilmu dan pembacaan, selain membuktikan bahawa pembelajaran bahasa boleh dilaksanakan secara kreatif, menarik dan sesuai bagi semua peringkat umur.

Secara keseluruhannya, aktiviti Roda Kata menjadi wadah yang berkesan dalam memartabatkan bahasa Melayu, selaras dengan peranan DBP sebagai peneraju pembangunan bahasa dan sastera negara.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi